Untung bersih sektor perbankan pada 2Q diramal berkembang sederhana didorong sumbangan pendapatan faedah bersih | DagangNews Skip to main content

Untung bersih sektor perbankan pada 2Q diramal berkembang sederhana didorong sumbangan pendapatan faedah bersih

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Ogos - Untung bersih sektor perbankan bagi suku kedua 2024 diramal berkembang sederhana dengan sumbangan utama daripada pendapatan faedah bersih (NII) diimbangi pendapatan lebih rendah daripada bahagian dagangan serta pelaburan.

 

RHB Investment berkata, secara amnya mereka positif terhadap pertumbuhan NII sektor itu walaupun beberapa bank memberi panduan kemungkinan berlaku kelembapan dalam kadar pertumbuhan pinjaman (margin faedah bersih (NIM) dan pemeliharaan modal) tetapi pinjaman sistem adalah baik.

 

Katanya, perkembangan NIM pada suku kedua juga cenderung untuk menjadi yang paling kukuh dari suku tahun ke suku tahun tetapi jika dibandingkan secara tahunan, ia masih berada di paras lebih rendah.

 

"Kami berpendapat pendapatan bukan faedah (NOII) akan menjadi lemah pada suku ini disebabkan asas tinggi yang dinikamti pada suku pertama 2024 dan suku kedua 2023 oleh beberapa bank daripada pendapatan perbendaharaan yang lebih baik.

 

"Pendapatan yuran sektor, bagaimanapun, kekal disokong dengan baik oleh pinjaman, pengurusan kekayaan dan pembrokeran saham," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman sistem adalah 6% dari tahun ke tahun berbanding 5% pertumbuhan deposit.

 

Katanya, walaupun kadar pinjaman purata sistem berkurangan 5bps dari suku tahun ke suku tahun tetapi kadar deposit tetap (FD) 12 bulan turun 6bps dari suku tahun ke suku tahun berikutan usaha berterusan untuk mengurangkan tekanan kos pembiayaan.

 

"Kualiti aset adalah kukuh, dengan nisbah pinjaman terjejas kasar (GIL) menguncup 2bps dari suku tahun ke suku tahun kepada 1.60% – terendah sejak Mei 2021, manakala liputan kerugian pinjaman (LLC) berada pada 91.7% pada Jun 2024 (Mac 2024: 92.1%; Jun 2023: 94.1%) ," katanya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor itu dengan CIMB Group Holdings Bhd, AMMB Holdings Bhd, Hong Leong Bank Bhd dan Alliance Bank Malaysia Bhd sebagai pilihan utama. - DagangNews.com