KUALA LUMPUR 16 Mac - Untung bersih Superlon Holdings Berhad menyusut sebanyak 67.9% kepada RM619,000 bagi suku ketiga berakhir 31 Januari 2023 (3QFY23) berbanding RM1.93 juta pada suku sama tahun lalu.
Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM25.6 juta bagi 3QFY23 mewakili peningkatan 7% atau RM1.6 juta berbanding suku sama pada tahun sebelumnya.
"Peningkatan ini disebabkan oleh jualan yang lebih tinggi untuk segmen pembuatan dalam tempoh tinjauan.
"Walaupun hasil yang lebih tinggi, kumpulan itu mencatatkan keuntungan kasar yang lebih rendah sebanyak RM5.3 juta bagi suku semasa berbanding tahun sebelumnya," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, bahagian pembuatan mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM17.9 juta bagi suku semasa berbanding RM16.5 juta bagi suku sama tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak RM1.4 juta atau 8.5%.
Perolehan yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan disumbangkan oleh peningkatan dalam jualan eksport terutamanya disebabkan oleh permintaan yang lebih tinggi daripada pasaran luar negara.
"Walaupun hasil yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan, untung kasar dan untung sebelum cukai bahagian tersebut dipengaruhi oleh kos bahan yang lebih tinggi, kerugian pertukaran mata wang asing dan kerugian rosot nilai bersih ke atas aset kewangan," katanya.
Kumpulan itu berkata, persekitaran operasi kekal mencabar dengan harga bahan mentah yang tidak stabil, kadar pertukaran yang turun naik dan keadaan ekonomi yang lebih lemah.
"Perang di Eropah ditambah dengan tekanan inflasi menimbulkan risiko penurunan kepada pemulihan ekonomi global.
"Bagaimanapun, Lembaga Pengarah optimistik dengan berhati-hati terhadap prestasi kumpulan kami bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2023," katanya. - DagangNews.com