Untung bersih Syarikat Takaful Malaysia bagi 4QFY22 diunjur 2.5% lebih rendah berbanding 3QFY22, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Syarikat Takaful Malaysia bagi 4QFY22 diunjur 2.5% lebih rendah berbanding 3QFY22, kata CGS-CIMB

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Nov - CGS-CIMB Research mengunjurkan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM85.1 juta bagi 4QFY22 iaitu 2.5% lebih rendah daripada 3QFY22.

 

Firma itu berkata, unjuran itu adalah berdasarkan permintaan yang lebih rendah pada hujung tahun.

 

"Bagaimanapun, untung bersih 4QFY22 akan menjunam sebanyak 45.5% kerana terdapat hapus kira bersih sebanyak RM16.8 juta dalam perbelanjaan cukai 4QFY21, manakala kadar cukai berkesan kekal tinggi (antara 31% hingga 33%) pada 4QFY22 kesan daripada Cukai Makmur," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 3QFY22 kumpulan meningkat 20.2% kepada RM87.27 juta daripada RM72.6 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu hasil daripada pendapatan yuran wakalah bersih yang lebih tinggi.

 

Pendapatan sesaham kumpulan juga meningkat kepada 10.43 sen daripada 8.69 sen.

 

Hasil suku tahunan meningkat 35.09% kepada RM924.42 juta daripada RM684.32 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya berikutan jualan lebih tinggi yang dijana daripada perniagaan takaful keluarga dan takaful am.

 

Firma itu berkata, untung bersih kumpulan bagi 9MFY22 sebahagian besarnya berada dalam jangkaan kerana ia menyumbang 74.1% daripada unjuran penuh dan 75.6% daripada anggaran konsensus Bloomberg.

 

Bagaimanapun, untung bersih 9MFY22 merosot sebanyak 4.5% kesan daripada kadar cukai berkesan yang lebih tinggi sebanyak 33.5% berbanding 14.4% pada 9MFY21 dan perubahan dalam cukai untuk pendapatan mereka.

 

"Kami mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.13 berbanding RM4.00 sebelum ini," katanya. - DagangNews.com