Untung bersih T7 Global melonjak 54.8% kepada RM20.15 juta bagi FY22 dipacu peningkatan hasil bahagian kejuruteraan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih T7 Global melonjak 54.8% kepada RM20.15 juta bagi FY22 dipacu peningkatan hasil bahagian kejuruteraan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - T7 Global Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 54.76% kepada RM20.15 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) berbanding RM13.02 juta pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan hasil terkumpul sebanyak 19.7% kepada RM365.65 juta berbanding RM305.49 juta pada tahun sebelumnya.

 

Hasil bagi tempoh itu datang daripada bahagian kejuruteraan terutamanya daripada pakej penjanaan gas dan pakej peralatan luar pesisir mencatatkan hasil sebanyak kira-kira RM203.33 juta berbanding RM169.41 juta yang dicatatkan dalam tempoh tahun sebelumnya, mewakili peningkatan kira-kira 20.02%.

 

Bahagian produk dan perkhidmatan mencatatkan hasil kira-kira RM162.32 juta dalam tempoh semasa berbanding RM136.08 juta yang dicatatkan dalam tempoh tahun sebelumnya, mewakili peningkatan kira-kira 19.28%.

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022, kumpulan itu merekodkan peningkatan untung bersih sebanyak 11.33 juta berbanding RM3.31 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022.

 

Hasil bagi suku berkenaan juga meningkat kepada RM170.41 juta berbanding RM80.30 juta yang direkodkan pada 30 September 2022.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Kay Zhuin berkata, keputusan itu adalah bukti usaha dan pelaburan strategik sepanjang tahun yang membolehkan mereka mara ke fasa pertumbuhan seterusnya. 

 

Katanya, pihaknya menjangkakan prospek positif dalam industri minyak dan gas didorong pemulihan ekonomi global pasca COVID-19.

 

"Kami memiliki kekuatan dalam sektor tenaga dan akan menawarkan penyelesaian inovatif kepada pelanggan selain terus menyelaraskan aktiviti kami mengikut rangka kerja amalam alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

 

"Kami juga optimis bahagian perniagaan pembinaan dan aeroangkasa akan membina momentum positif ini untuk menyokong kumpulan bergerak ke hadapan, terutamanya pada permulaan program penggantian aset sistem pengendalian bagasi (BHS) untuk Lapangan Terbang Antarabangsa KL tahun ini," katanya. - DagangNews.com