KUALA LUMPUR 26 Okt - Untung bersih Unisem (M) Berhad susut 70% kepada RM18.01 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3QFY23) berbanding RM61.73 million pada suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, penurunan keuntungan bersih itu disebabkan oleh jumlah jualan yang lebih rendah kesan permintaan pasaran yang lebih lemah.
Pendapatan sesaham kumpulan juga susut kepada 1.12 sen berbanding 3.83 sen.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham yang akan dibayar pada 24 November 2023.
Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2023, Unisem berkata, keuntungan bersih merosot kepada RM51.8 juta daripada RM318.28 juta berikutan pendapatan lebih rendah sebanyak RM1.09 bilion berbanding RM1.33 bilion.
Mengulas mengenai prospek, kumpulan itu berkata, disebabkan persekitaran makroekonomi dan geopolitik yang mencabar, mereka menjangkakan prestasi kumpulan itu kekal lemah dalam masa terdekat.
"Kami akan cuba mengehadkan risiko tukaran mata wang asing dengan mempunyai lindung nilai semula jadi antara penghutangnya dan sebahagian daripada pemiutang/pinjaman banknya, dan juga mungkin memasuki kontrak pertukaran mata wang," katanya. - DagangNews.com