Untung bersih United Malacca menyusut 67.9% kepada RM9.6 juta pada 3QFY23 kesan kerugian operasi ladang Indonesia | DagangNews Skip to main content

Untung bersih United Malacca menyusut 67.9% kepada RM9.6 juta pada 3QFY23 kesan kerugian operasi ladang Indonesia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Mac - Untung bersih United Malacca Berhad menyusut 67.9% kepada RM9.6 juta pada suku ketiga berakhir 31 Januari 2023 (3QFY23) berbanding RM30.2 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil kumpulan itu bagi 3QFY23 meningkat kepada RM161.6 juta berbanding RM147.8 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Katanya, bagi suku berkenaan, operasi di Malaysia mencatatkan keuntungan daripada sektor perladangan sebanyak RM22.4 juta atau 39% lebih rendah berbanding RM37 juta pada tahun sebelumnya.

 

"Ia tidak termasuk susut nilai, perubahan nilai saksama ke atas aset biologi dan perbelanjaan faedah.

 

"Operasi Malaysia mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) ksebanyak RM36.1 juta iaitu 27% lebih rendah daripada RM49.8 juta pada suku tahun yang sama tahun sebelumnya.

 

"Bagi tempoh sama, operasi di Indonesia merekodkan kerugian dalam segmen perladangan sebanyak RM1.7 juta berbanding keuntungan sebanyak RM3.7 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya dan operasi di negara itu mencatatkan EBITDA sebanyak RM4.1 juta atau 59% lebih rendah berbanding RM10 juta pada tahun sebelumnya," katanya.

 

Kerugian pelaburan sebanyak RM6.1 juta pada suku semasa adalah disebabkan oleh kerugian pertukaran asing bersih dan perbelanjaan faedah sebanyak RM900,000, pendapatan faedah bersih sebanyak RM700,000 dan keuntungan nilai saksama ke atas dana jangka pendek sebanyak RM200,000.

 

Mengulas mengenai prospek suku berikutnya, kumpulan itu menjangkakan pengeluaran nuah tandan segar (BTS) akan meningkat pada tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (FY23) disebabkan oleh prestasi hasil yang lebih tinggi.

 

Katanya, ia dibuat berdasarkan andaian harga minyaks awit mentah (MSM) kekal pada paras semasa dengan menjangkakan keputusan yang memuaskan untuk FY23.

 

"Pengurusan menjangkakan peningkatan dalam kos operasi disebabkan kos logistik, bahan dan buruh yang lebih tinggi. Keutamaan pengurusan adalah untuk meningkatkan prestasi operasi Indonesia," katanya. - DagangNews.com