Untung bersih UOA Development menyusut 46.3% kepada RM53.1 juta pada suku keempat | DagangNews Skip to main content

Untung bersih UOA Development menyusut 46.3% kepada RM53.1 juta pada suku keempat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Feb - Untung bersih UOA Development Berhad bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) menyusut sebanyak 46.3% kepada RM53.1 juta berbanding RM98.9 juta bada suku sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia memberitahu, hasil bagi suku berkenaan juga menyusut sebanyak 17.5% kepada RM112.5 juta berbanding RM136.4 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

 

Jumlah keseluruhan perbelanjaan kumpulan adalah sebanyak RM54.3 juta kebanyakannya melibatkan urusan pentadbiran termasuk perbelanjaan operasi sebanyak RM35.3 juta. 

 

"Hasil dan keuntungan kumpulan suku dalam tinjauan diperoleh daripada pengiktirafan progresif projek pembangunan berterusan iaitu Laurel Residence dan jualan saham terutamanya dari The Goodwood Residence dan United Point Residence," katanya.

 

Katanya, jualan hartanah baharu bagi tempoh berakhir 31 Disember 2022 adalah kira-kira RM638.2 juta yang kebanyakannya diperoleh daripada Laurel Residence, The Goodwood Residence dan United Point Residence.

 

Jumlah jualan belum dibil pada 31 Disember 2022 berjumlah lebih kurang RM203.4 juta.

 

"Kumpulan itu akan terus meneroka pembangunan tanah strategik bagi memenuhi objektif mereka," katanya. - DagangNews.com