Untung bersih Zhulian menyusut lebih 71% kepada RM6.8 juta pada suku pertama | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Zhulian menyusut lebih 71% kepada RM6.8 juta pada suku pertama

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 April - Untung bersih Zhulian Corporation Berhad menyusut lebih 71% kepada RM6.8 juta pada suku pertama berakhir 28 Februari 2023 berbanding RM23.9 juta pada suku sama tahun sebelumnya.

 

Bagi tempoh berkenaan, kumpulan itu mencatatkan hasil sebanyak RM32.6 juta iaitu penurunan sebanyak 6% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya sebanyak RM34.6 juta.

 

Penurunan hasil itu adalah disebabkan sentimen pengguna yang lemah secara keseluruhan dan ia turut dikaitkan dengan peningkatan tekanan inflasi.

 

Hasil daripada aktiviti operasi susut sebanyak 71% kepada RM6.5 juta berbanding RM22.2 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Penurunan itu disebabkan oleh pelupusan tanah pajakan di Indonesia dengan keuntungan bersih RM14.4 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

"Bahagian keuntungan syarikat bersekutu yang dikira ekuiti bagi tempoh berkenaan ialah sebanyak RM1.8 juta, penurunan ketara sebanyak 49% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya sebanyak RM3.6 juta.

 

"Bahagian keuntungan yang lebih rendah dalam tempoh tersebut adalah disebabkan terutamanya oleh prestasi syarikat bersekutu yang lebih lemah," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, perniagaan mereka berkait rapat dengan sentimen pasaran pengguna am dan tukara mata wang asing yang tidak stabil. 

 

Katanya, pengukuhan atau kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) akan memberi kesan kepada prestasi mereka keranan semua hasil eksport adalah dalam mata wang dolar.

 

"Kami akan memastikan kemampanan perniagaannya dengan menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pasaran yang berterusan dan kekal berhati-hati terhadap tekanan inflasi yang semakin meningkat.

 

"Kumpulan juga komited untuk terus meningkatkan kecekapan operasi perniagaannya dan mengekalkan aliran tunai yang mencukupi pada FY23," katanya. - DagangNews.com