Untung Frontken melonjak 27% kepada RM34.73 juta bagi 3QFY22 | DagangNews Skip to main content

Untung Frontken melonjak 27% kepada RM34.73 juta bagi 3QFY22

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Nov - Untung bersih Frontken Corporation Berhad untuk 3QFY22 melonjak 27% kepada RM34.73 juta berbanding RM27.30 juta hasil daripada peningkatan hasil dan margin keuntungan yang lebih baik.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, hasil bagi suku itu melonjak kepada RM134.57 juta, daripada RM116.59 juta sebelumnya, terutamanya disebabkan sumbangan lebih baik daripada hampir semua anak syarikatnya.

 

Perolehan sesaham berada pada 2.21 sen, berbanding 1.74 sen sebelumnya.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak mengisytiharkan sebarang pemberian dividen.

 

Bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2022, kumpulan itu berkata keuntungan bersihnya meningkat kepada RM93.45 juta daripada RM74.96 juta sebelumnya dengan hasil RM381.91 juta berbanding RM328.74 juta.

 

Mengulas mengenai prospeknya, kumpulan itu berkata, industri semikonduktor menunjukkan penurunan permintaan kerana berlakunya perubahan inventori dengan pelanggan sektor elektronik dan perkembangan makroekonomi yang perlahan.

 

“Kami percaya permintaan berterusan untuk cip akan menjadi positif untuk perniagaan semikonduktor pada tahun-tahun akan datang, di mana permintaan tinggi berterusan untuk cip yang sama akan memerlukan lebih banyak penyelidikan cip, reka bentuk dan pembuatan pada tahun-tahun akan datang.

 

“Bagi industri minyak dan gas, kami yakin perniagaan kami akan kukuh bagi baki 2022 berikutan peningkatan pesanan di bawah pelbagai kontrak.

 

"Kami optimis dan kekal berhati-hati tentang prestasi kami pada 2022," katanya. - DagangNews.com