KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih LBS Bina Group Berhad menyusut sebanyak 28.86% kepada RM25.6 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 (4QFY22) berbanding RM36.05 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.
Bagi suku berkenaan, kumpulan itu merekodkan merekodkan hasil sebanyak RM373 juta berbanding RM443 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Penurunan hasil berkenaan dan keuntungan itu adalah disebabkan sumbangan yang rendah daripada projek yang sedang berjalan dan hampir siap sepenuhnya.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22), untung bersih kumpulan itu meningkat sebanyak 32% kepada RM126.2 juta berbanding RM95.6 jura pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu juga meningkat kepada RM1.7 bilion pada FY22 berbanding RM1.4 bilion pada tahun kewangan sebelumnya.
"Bagi FY22, segmen pembangunan hartanah mencapai hasil dan keuntungan yang lebih tinggi.
"Lonjakan berkenaan kedua-dua hasil dan keuntungan sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan kukuh yang berterusan dan pengebilan kemajuan yang lebih tinggi untuk projek pembangunan utama di Bukit Jalil, LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth dan Skylake Residence.
"Projek pembangunan di Lembah Klang masih kekal sebagai penyumbang hasil terbesar, menyumbang 84% daripada hasil Kumpulan untuk FY22," katanya menerusi satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Kumpulan itu berkata, bank tanah kumpulan itu adalah sebanyak 1,201 hektar dan julan yang belum dibilkan kira-kira RM2.40 bilion dijangka memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.
Kumpulan itu juga akan terus mendigitalkan operasi dan memberi tumpuan kepada kemampanan dalam organisasi.
"Kami akan menggiatkan usaha ke arah mematuhi operasi perniagaannya dengan nilai ESG (persekitaran, sosial dan tadbir urus), peningkatan penarafan dan kini dimasukkan dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM).
"Ini adalah bukti komitmen kumpulan untuk membina tadbir urus yang baik dengan prestasi alam sekitar dan sosial yang kukuh," katanya. - DagangNews.com