UOB Malaysia lancar aplikasi UOB SME, perbankan digital 'semua dalam satu' | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia lancar aplikasi UOB SME, perbankan digital 'semua dalam satu'

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - UOB Malaysia hari ini mengumumkan pelancaran aplikasi UOB SME iaitu platform perbankan digital 'semua dalam satu' bagi keperluan kewangan dan perniagaan lain perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

 

Aplikasi UOB SME adalah pertama dalam industri untuk menyediakan pelbagai penyelesaian yang dapat memenuhi keperluan pembiayaan dan urusan perniagaan lain menerusi peranti mudah alih.

 

Aplikasi itu mempunyai keupayaan perbankan dan transaksi yang sama seperti UOB Infinity, tetapi menyediakan ciri yang disesuaikan mengikut keperluan berlainan PKS seperti penyelesaian pengurusan perniagaan dan papan pemuka interaktif.

 

Melalui platform itu, PKS dapat melihat data aliran tunai mereka melalui papan pemuka interaktif, melakukan transaksi perbankan, memohon pinjaman, menetapkan senarai pantau mata wang asing yang diperibadikan dengan makluman segera, mengakses maklumat tersuai, serta mencari acara yang berkaitan dengan industri mereka. 

 

Ciri aplikasi ini dibangunkan berdasarkan penemuan Kajian Transformasi PKS ASEAN 2022 oleh UOB, Accenture dan Dun & Bradstreet. 

 

Kajian itu menunjukkan 63% daripada PKS tempatan merancang untuk meneruskan pendigitalan dan akan mengambil kesempatan daripada ekonomi digital. 

 

Melalui aplikasi itu, PKS dapat mengakses penyelesaian digital yang melangkaui perbankan, seperti perakaunan dan invois, sumber manusia dan e-dagang yang dapat membantu mereka mengautomasi dan menyelaraskan proses di samping meningkatkan produktiviti dan kecekapan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, kumpulan itu berkembang seiring dengan komuniti PKS di Malaysia selama lebih 70 tahun dan berharap untuk memberi bantuan melalui transformasi digital, amalan perniagaan yang mampan serta pengembangan rentas sempadan dengan menghubungkan mereka kepada peluang pertumbuhan di ASEAN.

 

“Kami berbangga melancarkan aplikasi UOB SME yang bertujuan mempertingkat pengalaman perbankan digital pelanggan PKS kami dengan menggabungkan penyelesaian perbankan, analitik dan maklumat perniagaan ke dalam satu platform. 

 

"Ia menyediakan PKS dengan maklumat masa nyata dan kemudahan mengurus kewangan mereka di mana-mana sahaja. 

 

"Justeru, ini membolehkan PKS sentiasa termaklum tentang perniagaan mereka di samping mempunyai kawalan kewangan yang lebih baik, sambil memacu strategi pertumbuhan mereka," katanya. - DagangNews.com