UOB Malaysia lantik Ng Wei Wei sebagai Timbalan CEO | DagangNews Skip to main content

UOB Malaysia lantik Ng Wei Wei sebagai Timbalan CEO

 

KUALA LUMPUR 2 Julai – UOB Malaysia telah melantik Ketua Perbankan Borong, Ng Wei Wei sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), berkuat kuasa 1 Julai 2021. 

 

Dalam peranan barunya, beliau akan membantu Ketua Pegawai Eksekutif, Wong Kim Choong, dalam memacu keutamaan perniagaan strategik Bank, termasuk menjana prestasi yang kukuh, membangunkan lebih banyak penyelesaian yang mengutamakan pelanggan dan juga memajukan agenda inovasi apabila Bank bergerak ke fasa pertumbuhan yang seterusnya.

 

Sebagai Timbalan CEO, Ng masih memegang jawatannya sekarang sebagai Ketua Perbankan
Borong. Di bawah portfolio perbankan borong, beliau juga diberi kepercayaan untuk mengurus dan
menyediakan pengawasan perniagaan ke atas bahagian Penasihat Pelaburan Langsung Asing,
Perbankan Islam dan perniagaan luar pesisir Labuan Bank.

 

Di samping itu, beliau kini mengawasi fungsi Perbankan Runcit (yang terdiri daripada Perkhidmatan Kewangan Peribadi dan Perbankan Perniagaan), Saluran dan Digitalisasi, dan Pengurusan Risiko. Beliau akan bekerjasama dengan ketua fungsi masingmasing untuk mencapai objektif dan matlamat Bank selain menyokong pertumbuhan francais UOB di seluruh Asia.

 

Wong berkata, kenaikan pangkat Wei Wei kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan tanggungjawabnya yang lebih luas akan melihat beliau memainkan peranan yang lebih kukuh dalam mencapai keutamaan strategik bank ini.

 

"Ini termasuk mengambil kesempatan daripada pemacu pertumbuhan rantau selain memanfaatkan teknologi untuk mendorong inovasi dan prestasi.

 

"Pelantikan beliau ke peranan pengurusan kanan ini di UOB Malaysia bukan sahaja mengukuhkan lagi keteguhan kepimpinan Bank, malah juga menunjukkan komitmen kami untuk membangunkan pucuk pimpinan yang mantap dan pelbagai di samping membentuk tenaga kerja yang mengiktiraf kesaksamaan gender,” ujarnya.

 

Ng, yang mempunyai pengalaman perbankan selama 25 tahun, mula berkhidmat di UOB Malaysia
selama enam tahun hingga 2006. Beliau kemudiannya memegang pelbagai peranan kepimpinan di
institusi kewangan global lain di Malaysia dan Hong Kong sebelum kembali ke UOB Malaysia pada 2019
sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Negara Perbankan Borong.

 

“Wei Wei adalah bakat dalaman kami, memandangkan bahawa beliau mula mengasah kemahiran
perbankan di UOB Malaysia pada awal kerjayanya. Sejak kembali ke UOB, beliau memainkan peranan
penting dalam memacu perniagaan Perbankan Borong kami, baru-baru dalam memberi sokongan
kepada pelanggan kami untuk mengatasi cabaran kewangan yang disebabkan oleh pandemik.

 

"Dengan mandat yang lebih luas sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, saya yakin kepakaran dan
pengalaman beliau akan memberi sumbangan lebih besar kepada UOB Malaysia apabila kami terus
membina keupayaan dan kemampuan kami dalam membentuk masa depan yang mampan bagi
pelanggan dan pihak berkepentingan kami,” kata Wong.

 

Ng mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perdagangan, dengan dua jurusan iaitu dalam Perakaunan
dan Pengurusan, dari Monash University of Melbourne, Australia. - DagangNews.com