Oleh YEO LI SHIAN
[email protected]
AYER KEROH 20 Okt. – Seramai 36 orang banduan dan staf Penjara Agro Dusun Dato Murad baru-baru ini mendapat bimbingan daripada Pusat Transformasi Komuniti (UCTC), Universiti Putra Malaysia (UPM) tentang kaedah penghasilan silaj berkualiti tinggi daripada rumput Napier menerusi projek kelolaan Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS).
Menurut Ketua Projek, Dr. Martini Mohammad Yusoff, pakej lengkap pemindahan ilmu ini merangkumi aspek penanaman, penjagaan dan penuaian rumput Napier sehingga proses penghasilan silaj yang menjadi sumber makanan ternakan di penjara tersebut.
Rumput Napier menjadi pilihan untuk penghasilan silaj kerana kualitinya yang tidak mudah diserang serangga perosak dan penyakit tumbuhan, menghasilkan biomas yang tinggi serta lebih bernutrisi sebagai makanan ternakan.
“Kaedah pembuatan silaj penting dalam proses penyediaan makanan ternakan kerana bekalan ini boleh disimpan dan digunakan apabila perlu khususnya ketika musim kemarau dan banjir,” terangnya.
Turut terlibat dalam projek ini termasuk penyelidik bersama Dr. Shokri Jusof dan Prof. Madya Dr Hawa Jaafar Fakulti Pertanian Universiti Pertanian Malaysia (UPM).
Selain berkongsi ilmu pertanian dengan komuniti penjara, kejayaan penghasilan silaj berkualiti tinggi menerusi teknologi penyelidik UPM turut menyuntik harapan baharu kepada golongan banduan untuk menceburi bidang keusahawanan.
“Kami amat gembira apabila mengetahui ada banduan yang berhasrat untuk menceburi projek penghasilan silaj dengan rumput Napier selepas tamat tempoh tahanannya nanti,” kongsi Pengarah Penjara Agro Dusun Dato Murad, Zamzuri Ghani. – DagangNews.com