UPM naik anak tangga ke-25 dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2022 | DagangNews Skip to main content

UPM naik anak tangga ke-25 dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2022

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 26 Dis - Universiti Putra Malaysia (UPM) menduduki tangga ke-25 dalam UI-GreenMetric World University Ranking 2022 Top 50 Sustainable Universities sekaligus mengekalkan statusnya sebagai universiti terbaik Malaysia dalam senarai itu.

 

UPM sebelum ini ditangga ke-27 universiti paling lestari dunia, mencatatkan kenaikan dua anak tangga seperti yang diumumkan oleh badan penarafan dunia UI GreenMetric yang memfokuskan kepada enam skop utama iaitu infrastruktur, tenaga dan perubahan cuaca, sisa buangan, air, pengangkutan dan pendidikan.

 

UPM kini dalam usaha memperkasa penggunaan tenaga boleh diperbaharui turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Record (MBOR) bagi projek Agrovoltaic iaitu projek solar yang menempatkan pokok herba sebagai sumber penyejuk panel solar selain mempunyai bumbung tempat letak kereta yang diperbuat daripada panel solar.                                                                                                                                                      

 

Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, kejayaan UPM dalam mengekalkan universiti paling lestari selama 13 tahun berturut-turut dan ini merupakan komitmen jitu universiti dalam memastikan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar untuk terus diperkasakan melalui pelbagai aktiviti pengajaran, penyelidikan, kokurikulum serta sistem pengurusan kualiti berteraskan pengurusan alam sekitar yang berkesan.


 

Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman
                                   Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 


"UPM akan berusaha untuk menjadi sebuah kampus yang bukan sahaja memfokuskan pada pencapaian akademik semata-mata, tetapi berperanan sebagai sebuah institusi ilmu yang melahirkan insan yang cakna terhadap pemuliharaan alam sekitar," katanya.

 

Penarafan yang diumumkan pada 12 Disember yang lalu turut mengumumkan UPM berada di tempat kedua sebagai universiti paling lestari di Asia, naik satu anak tangga dari tahun yang sebelumnya.

 

Pencapaian ini adalah selaras dengan Matlamat Ke-5 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan dan Amalan Kelestarian Hijau.

 

Pada tahun ini, lebih banyak penyertaan universiti-universiti dari seluruh negara yang dilaporkan iaitu sebanyak 1,050 buah universiti membuktikan sokongan institusi pendidikan dalam menyokong agenda kelestarian. - DagangNews.com