Keyfield International kemuka dokumen Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion kepada SC | DagangNews Skip to main content

Keyfield International kemuka dokumen Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1 bilion kepada SC

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 23 Okt - Keyfield International Berhad (Keyfield) pada Rabu mengemukakan maklumat yang diperlukan dan dokumen berkaitan Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM1.0 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Program Sukuk Wakalah yang berasaskan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar, telah diberikan penarafan jangka panjang AA3 dengan prospek stabil oleh RAM Rating Services Berhad. 

 

Program itu disusun dengan tempoh 30 tahun, dan setiap Sukuk Wakalah yang dikeluarkan di bawah program berkenaan akan mempunyai tempoh satu tahun dan ke atas.

 

Hasil yang diperoleh daripada Program Sukuk Wakalah terbabit akan digunakan untuk membiayai tujuan patuh syariah Keyfield Group, termasuk pelaburan dan tujuan korporat umum, perbelanjaan modal, keperluan modal kerja, serta pembiayaan semula pembiayaan masa depan, jika berkenaan. 

 

Keyfield bercadang untuk menggunakan hasil tersebut untuk kerja luar pesisir dalam sektor minyak dan gas serta bukan minyak dan gas atau untuk menyokong perkhidmatan berkaitan maritim yang lain.

 

Maybank Investment Bank Berhad berperanan sebagai penasihat utama, penyelaras utama dan pengurus utama bagi program itu, dengan Maybank Islamic Berhad bertindak sebagai penasihat syariah.

 

Mengulas mengenai program tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Keyfield, Dato’ Darren Kee Chit Huei berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan Maybank dalam menubuhkan program Sukuk pertama. 

 

"Program Sukuk Wakalah membolehkan kami mengakses pasaran modal hutang pada kadar yang kompetitif, seterusnya meningkatkan pulangan pemegang saham dengan memberikan fleksibiliti untuk mengejar peluang pelaburan strategik baharu pada kos yang lebih rendah.

 

"Program ini mewakili strategi pembiayaan yang seimbang, membolehkan kami mengoptimumkan pengurusan hutang sambil mempelbagaikan sumber pembiayaan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tambah beliau, penarafan AA3 menegaskan kekuatan kredit syarikatnya yang tinggi sambil mengekalkan profil kewangan konservatif yang dianggap penting untuk menguruskan operasi kumpulan. 

 

"Kami kekal komited untuk menguruskan struktur modal perniagaan dengan berhati-hati bagi memastikan kami memberikan nilai yang berkekalan kepada pemegang kepentingan kami," ujarnya. - DagangNews.com