AOB larang Sathiea Seelean Manickam daripada menjalankan audit selama setahun, denda RM87,500 | DagangNews Skip to main content

AOB larang Sathiea Seelean Manickam daripada menjalankan audit selama setahun, denda RM87,500

Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 23 Okt - Lembaga Pemantauan Audit (AOB) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) melarang Sathiea Seelean Manickam mengaudit mana-mana entiti kepentingan awam (PIE) atau menjadualkan dana dalam tempoh setahun mulai 22 Oktober 2024.

 

AOB berkata, selain daripada larangan terhadap Sathiea, pihaknya juga telah mengenakan denda terhadapnya sebanyak RM87,500. 

 

"Sathiea gagal mematuhi Piawaian Pengauditan Antarabangsa (ISA) semasa mengaudit pelanggan syarikat senaraian awam (PLC).

 

"Secara khususnya, beliau tidak memperoleh bukti audit yang mencukupi untuk menyokong audit penyata kewangan kumpulan yang melibatkan tunai dan baki bank, prabayaran serta pelaburan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, Sathiea mengemukakan rayuan kepada SC terhadap tindakan penguatkuasaan AOB dan SC menolak rayuannya serta mengesahkan keputusan itu.

 

Sathiea merupakan rakan kongsi Morison Anuarul Azizan Chew, sebuah firma audit yang dahulunya didaftar dengan AOB.

 

Beliau juga merupakan rakan kongsi pelanggan syarikat senaraian awam (PLC) untuk tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2016 serta tahun kewangan berakhir (FYE) 31 Disember 2017 dan 31 Disember 2018. - DagangNews.com