Usaha berterusan ke atas pasaran gelap tembakau penting untuk pacu pemulihan | DagangNews Skip to main content

Usaha berterusan ke atas pasaran gelap tembakau penting untuk pacu pemulihan

Dari kiri, Ignacio Ballester, Pengarah Kewangan BAT Malaysia; Tan Sri (Dr.) Aseh Che Mat, Pengerusi BAT Malaysia dan Jonathan Reed, Pengarah Urusan BAT Malaysia pada AGM syarikat itu di Kuala Lumpur, Khamis.

 

 

KUALA LUMPUR 22 April – British American Tobacco (Malaysia) Berhad (BAT Malaysia) mengumumkan prestasi kewangannya bagi tahun kewangan 2020 (FY2020) pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-60 (AGM) hari ini.

 

BAT Malaysia menegaskan semula komitmen untuk mencapai matlamat korporat A Better Tomorrow™ dan menekankan saranan agar tindakan berterusan  perlu diambil untuk menghentikan kegiatan pasaran gelap tembakau.

 

Jonathan Reed, Pengarah Urusan BAT Malaysia berkata, FY2020 merupakan tahun pemulihan bagi BAT Malaysia walaupun menghadapi keadaan operasi yang sukar.

 

Menurut beliau, BAT Malaysia mencatatkan peningkatan angka jualan, untung, perolehan bersih dan peningkatan bahagian pasaran pada suku ketiga terakhir tahun. Ini merupakan pemacu yang kukuh bagi kami untuk kembali mencatatkan peningkatan pertumbuhan dan mencapai matlamat korporat A Better Tomorrow™ .

 

“Dengan matlamat baharu ini, BAT Malaysia bernekad untuk menyediakan masa depan yang lestari bagi pemegang saham dan pihak-pihak berkepentingan.

 

"Walaupun rokok akan terus menjadi teras utama perniagaan kami buat masa depan untuk tempoh tertentu, kami sedang berusaha menjana hasil yang lebih besar daripada produk selain daripada rokok untuk mengurangkan kesan dan risiko kepada perniagaan kami,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Walaupun sudah menghampiri separuh kedua tahun 2021, kata Reed, masalah pasaran gelap tembakau masih lagi belum diselesaikan.

 

"Kami meramalkan tahap penularan rokok seludup di Malaysia kekal di paras yang tinggi kerana ramai pengguna menghadapi tekanan kewangan akibat pandemik dan tidak mampu membeli rokok sah.”

 

“Langkah-langkah yang diumumkan dalam Belanjawan 2021 untuk mengatasi masalah pasaran gelap tembakau menandakan satu permulaan yang baik bagi tahun ini. Walaubagaimanapun, Kerajaan mesti mengekalkan tumpuan terhadap usaha menghentikan pasaran gelap untuk menampung kos pemulihan ekonomi,” katanya.

 

BAT
JONATHAN REED

 

Beliau berkata, adalah amat penting untuk kerajaan Malaysia memperluaskan rangkaian cukai bagi produk vape meliputi e-cecair dengan nikotin yang merangkumi 97% daripada pasaran.

 

Ini supaya ujarnya lagi, pengguna boleh membeli produk alternatif yang diketahui kualitinya. 

 

"Kami akan terus menyokong dan menggalakkan pelaksanaan peraturan dan undang-undang yang lebih jelas dan praktikal berhubung vape nikotin oleh Kerajaan Malaysia,” katanya.

 

Sorotan kewangan tahun penuh 2020:

  • Keuntungan daripara operasi berjumlah RM346 juta bagi FY  2020 berbanding RM478 juta pada tahun kewangan sebelumnya, iaitu kemerosotan 27.6% (RM132 juta).
  • Hasil: berkurangan sebanyak 7.7% (RM193 juta) berbanding tempoh yang sama tahun lepas disebabkan penyusutan pasaran sah dan juga peralihan turun produk.
  • Perbelanjaan operasi adalah lebih tinggi iaitu 2.6% (RM7 juta) ekoran pelaburan strategik yang telah dilaksanakan oleh BAT Malaysia untuk menyokong portfolio yang semakin besar serta kempen Hentikan Pasaran Gelap. Ini termasuk kos pembelian peralatan perlindungan diri dan sanitasi akibat pandemik Covid-19.
  • Pertumbuhan bahagian pasaran kukuh dicatatkan meliputi semua segmen sehingga mencecah 51.7%, kenaikan sebanyak 1.1 peratus berbanding 2019, dipacu oleh kekuatan Dunhill dan portfolio segmen Nilai untuk Wang (VFM) yang kian berkembang.
  • Dividen bersih: 83 sen sesaham.     - DagangNews.com