Usahawan perlu buat pinjaman dengan TEKUN Nasional, bukan Ah Long - Wan Junaidi | DagangNews Skip to main content

Usahawan perlu buat pinjaman dengan TEKUN Nasional, bukan Ah Long - Wan Junaidi

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Usahawan mikro dan perniagaan informal diminta untuk menghubungi TEKUN Nasional yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) bagi sebarang bantuan pembiayaan.

 

Menteri MEDAC, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, beliau mula bimbang terhadap laporan bahawa ramai usahawan yang membuat pinjaman yang salah berbanding agensi kerajaan yang telah ditetapkan bagi urusan pinjaman wang.

 

Sejak mengambil alih kementerian tersebut tahun lalu, beliau turut memastikan proses permohonan pinjaman di bawah TEKUN Nasional dipermudah dengan mengurangkan kertas kerja dan tempoh pemprosesan yang lebih singkat.

 

Tambahnya, usahawan yang telah disenarai hitam dalam CTOS dan CCRIS juga diberi kelayakan untuk memohon.

 

.

 

"Bagi mereka yang mahu membuat pinjaman wang bagi tujuan perniagaan, sila datang berjumpa dengan kami dan bukannya Ah Long.

 

"Kadar faedah kami adalah jauh lebih rendah dan kami mempunyai tawaran faedah terbaik untuk pelanggan. 

 

"Program pembiayaan kami juga bertujuan untuk memberi peluang kedua kepada pengusaha dan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik. Kami mahu melihat mereka berjaya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selain TEKUN Nasional, MEDAC turut mempunyai agensi lain seperti INSKEN yang akan membantu melatih golongan usahawan dengan kemahiran baharu dalam mendepani persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, TEKUN pada Disember tahun lalu telah memperkenalkan skim pembiayaan khas bagi pengusaha perniagaan informalyang dikenali sebagai Skim Pembiayaan Informal (SPIN). 

 

Melalui skim tersebut, sebanyak RM50 juta diperuntukkan yang akan memberi manfaat kepada 10,000 perniagaan informal di seluruh negara.

 

Skim berkenaan menawarkan pinjaman RM1,000 hingga RM5,000 dengan tempoh pembiayaan hingga tiga tahun.

 

,

 

Pada 16 Julai baru-baru ini, TEKUN menyalurkan pinjaman sebanyak RM19.47 juta melalui SPIN kepada 3,309 pengusaha perniagaan informal di seluruh negara.

 

Selangor kini di kedudukan teratas dengan jumlah pinjaman RM3.15 juta (390 penerima), diikuti Sarawak sebanyak RM3.04 juta (589 penerima) dan Terengganu sebanyak RM2.54 juta (469 penerima).

 

"Pinjaman ini masih tersedia. Kami berharap lebih banyak perniagaan informal akan hadir ke TEKUN dan membuat permohonan pembiayaan yang dapat menolong mereka dalam tempoh sukar ini.

 

"Sila hubungi TEKUN bagi sebarang pertanyaan berkaitan pembiayaan ini," jelas beliau lagi.

 

Wan Junaidi turut menyampaikan pinjaman bernilai RM333,000 di bawah TEKUN kepada 10 usahawan Sarawak.

 

Beliau turut menyampaikan sumbangan bernilai RM112,000 oleh Bank Rakyat dan RM50,000 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) kepada wakil Surau Sepakat Jaya bagi tujuan program bakul makanan dan ibadah korban tahun hadapan. - DagangNews.com