UTAR & UOBAM (Malaysia) bekerjasama sediakan latihan literasi kewangan dan pelaburan untuk siswa | DagangNews Skip to main content

UTAR & UOBAM (Malaysia) bekerjasama sediakan latihan literasi kewangan dan pelaburan untuk siswa

Puan Lim Suet Ling dan Ir Prof Dr Ewe Hong Tat

 

KUALA LUMPUR 10 Mei – Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan UOB Asset Management (Malaysia) atau UOBAM Malaysia hari ini mengumumkan kerjasama tiga tahun bagi menyediakan latihan literasi kewangan dan pelaburan kepada golongan mahasiswa. 

 

Di bawah kerjasama ini, UOBAM akan mengadakan siri seminar, ceramah dan bengkel untuk pelajar UTAR. Pelbagai topik akan dikemukakan termasuk  mengenai landskap industri pelaburan, prospek ekonomi dan pasaran global, asas pemilihan saham dan analisis teknikal, serta kesan teknologi kewangan ke atas industri pelaburan.

 

Sebagai tambahan, pelajar UTAR yang terpilih dapat menjalani latihan di tempat kerja dengan UOBAM melalui program latihan amali selama tiga bulan dan menimba pengalaman untuk menjadi perancang kekayaan yang berjaya.

 

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman telah diadakan secara maya pada 5 Mei 2021 bagi menandakan kerjasama tersebut. UTAR diwakili oleh Presidennya, Ir Prof Dr Ewe Hong Tat manakala UOBAM diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Lim Suet Ling.

 

Presiden UTAR, Ir Prof Dr Ewe berkata, “Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan UOBAM untuk menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada pelajar kami memajukan pengetahuan pelaburan mereka. Bimbingan secara praktikal dan interaksi  dengan pakar dari UOBAM akan meningkatkan pengalaman selain melengkapkan pendidikan para pelajar kami.

 

“Usaha bersama dan latihan berterusan yang menggalakkan kesedaran mengenai pelaburan unit amanah dalam kalangan pelajar UTAR akan merapatkan jurang pengetahuan mereka apabila mereka merancang kerjaya dalam industri kewangan.

 

"Strategi pendidikan bersepadu, merangkumi saluran tradisional dan digital, membolehkan pelajar kami yang mempunyai pemikiran bertumpu pada pertumbuhan untuk melihat pelaburan dari perspektif strategi dan pengurusan yang lebih luas.

 

"Pada masa yang sama, ia juga akan meningkatkan kepakaran mereka dalam perancangan kewangan, analisis dan etika profesional, justeru melengkapkan mereka dengan kemahiran asas yang berkaitan untuk masa depan. Pelajar akan memperoleh pengalaman berharga dan pemahaman lebih baik mengenai permintaan dan peluang dalam industri kewangan,” ujarnya.

 

Puan Lim, Ketua Pegawai Eksekutif UOBAM (Malaysia) berkata, “Pendidikan merupakan unsur penting dalam membina pengetahuan dan bakat masa depan negara dan masyarakat kita. Sehubungan ini dan sejak penubuhannya, UTAR telah memainkan peranan penting dalam menghasilkan golongan siswazah dalam pelbagai bidang pengajian memenuhi keperluan negara.

 

"Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi yang terkemuka seperti UTAR. Ini merupakan bukti sokongan kami terhadap institusi pendidikan dan inisiatif industri akademik dalam memupuk bakat muda menjadi pemimpin industri masa depan,” ujarnya.

 

UOBAM juga merancang untuk bekerjasama dengan UTAR dalam melaksanakan kertas projek penyelidikan industri dan perundingan dalam bidang teknologi dan inovasi sosial untuk pelanggan UOBAM dan para pelabur. - DagangNews.com