Vaksinasi fasa 3 suntik 13.7 juta penduduk sudah bermula | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi fasa 3 suntik 13.7 juta penduduk sudah bermula

KUALA LUMPUR 30 Jun - Fasa tiga Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang membabitkan vaksinasi terhadap 13.7 juta penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sudah bermula di tujuh negeri dan wilayah.

 

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin, berkata fasa yang digerakkan secara berperingkat itu dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Labuan, Pulau Pinang dan Sarawak.

 

"Pelaksanaan Fasa Tiga digerakkan secara berperingkat di tujuh negeri yang telah mencapai kadar vaksinasi atau diberi janji temu kepada lebih 80 peratus penduduk mereka," katanya pada sidang media mingguan secara maya, hari ini, menurut Berita Harian.

 

Khairy yang juga Menteri Penyelaras PICK berkata, lebih 16.7 juta individu sudah mendaftar sebagai penerima vaksin setakat semalam, merangkumi 5.36 juta penerima vaksin fasa dua dan 11.4 juta penerima fasa tiga.

 

"Jumlah warga emas yang berdaftar sudah mencecah sebanyak 2,848,431. Bilangan warga emas yang sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin pula adalah sebanyak 2,119,088," katanya.

 

Mengulas lanjut, Khairy memaklumkan beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Mega akan mula beroperasi pada kapasiti yang lebih tinggi bermula hari ini, dengan pelaksanaan suntikan dos kedua.

 

Katanya, antara PPV Mega yang bakal menyaksikan peningkatan kapasiti harian itu termasuklah PPV Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan PPV Pusat Konvensyen Setia City (SCCC).

 

"Kapasiti pemberian vaksin PPV KLCC akan ditingkatkan kepada 8,000 dos sehari, manakala PPV SCCC akan ditingkatkan kepada 6,000 dos sehari.

 

"Semua fasiliti yang terbabit telah dipersiapkan untuk menampung kadar vaksinasi yang lebih tinggi bagi memastikan kelancaran operasi vaksinasi di PPV masing-masing," katanya.

 

Ditanya mengenai penentuan pengagihan jumlah vaksin di negeri, Khairy berkata, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) membuat keputusan berpandukan nasihat daripada pakar kesihatan awam Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) Kementerian Kesihatan (KKM).

 

Katanya, antara faktor yang digunakan dalam pertimbangan itu termasuk keperluan kawalan wabak serta kapasiti pemberian vaksin harian di peringkat negeri.

 

"Saranan pakar BPKK adalah untuk terus memberi fokus kepada negeri yang ada kadar jangkitan yang tinggi seperti Lembah Klang dan Negeri Sembilan, selain kapasiti dan kadar penggunaan vaksin di negeri.

 

"Pengagihan ini dinamik. Kita berterusan memantau situasi di lapangan dan akan membuat perubahan dari masa ke masa.

 

"Contohnya di Labuan. Apabila ada keperluan untuk mengawal pandemik di sana, kita tingkatkan penghantaran bekalan vaksin ke Labuan," katanya.

 

Khairy berkata, Selangor adalah antara penerima bekalan vaksin tertinggi di Malaysia, namun negeri itu berdepan isu kadar penggunaan vaksin sebelum ini, namun ia sudah diatasi dengan penambahan jumlah PPV dan peningkatan tenaga kerja di PPV.

 

"Disebabkan itu, Selangor dijangka dapat meningkatkan kapasiti harian dan diberikan lebih banyak vaksin pada Julai, dan diharap boleh mencapai kapasiti 100,000 dos sehari," katanya. - DagangNews.com