Vaksinasi hidupkan peluang ekonomi penjaja | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi hidupkan peluang ekonomi penjaja

FOKUS BERITA

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jun - SEJAK penularan wabak COVID-19 melanda negara, keseluruhan sektor ekonomi dilihat terjejas sehingga ada yang terpaksa gulung tikar.

 

Tempias dalam tempoh sukar itu turut dialami golongan peniaga atau penjaja yang mencari rezeki.

 

Episod perintah kawalan pergerakan (PKP) yang perlu dikuatkuasakan juga turut membuatkan golongan berkenaan 'terganggu' untuk kembali berniaga seperti biasa.

 

Mana tidaknya, golongan penjaja yang biasanya beroperasi di pasar tani atau pasar malam tidak lagi dibenarkan dalam tempoh 'total lockdown' penuh Fasa 1 bermula 1 hingga 14 Jun 2021.

 

.

 

Bagaimanapun, masih ada 'sinar' bagi ekonomi negara khususnya golongan penjaja untuk kembali meneruskan kelangsungan peniagaan dengan kehadiran vaksin.

 

Tampil mengulas perkara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM), Mohamed Zamri Mohammed berkata, kehadiran vaksin sememangnya memberi keyakinan yang tinggi kepada golongan penjaja dalam aspek keselamatan dan kelangsungan ekonomi.

 

"Sebenarnya kalau kita lihat golongan penjaja sama seperti front liners juga, mereka keluar berniaga dan jumpa dengan pelanggan. Sebab itu perlu divaksin dengan cepat.

 

"Dan kalau kita tengok di negara luar sudah terbukti bahawa kadar jangkitan atau bilangan kes harian mula berkurangan apabila divaksinasi.

 

"Maknanya, dengan penurunan jangkitan nanti, ia secara tidak langsung akan buka peluang perniagaan kepada penjaja seperti biasa," katanya ketika dihubungi DagangNews.com.

 

Mohamed Zamri Mohammed
Mohamed Zamri Mohammed.

 

 

Keseluruhan peniaga di bawah GPPPKMM terdiri daripada penjaja (80%) dan peniaga kecil (20%).

 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, besar harapannya untuk melihat ahli persatuan (penjaja) diberi kebenaran untuk kembali berniaga di tapak-tapak perniagaan walaupun secara berperingkat.

 

Bagaimanapun, beliau percaya, perkara itu akan menjadi realiti apabila divaksin kelak.

 

"Contohnya sekarang ini kerajaan benarnkan berniaga bagi essential produk seperti makanan. Tapi, untuk berniaga di pasar malam atau tempat-tempat terbuka masih tidak dibenarkan.

 

"Jadi, kita mahu ahli-ahli kita dapat kembali berniaga di pasar-pasar malam atau pasar tani walaupun secara berperingkat nanti.

 

"Menilai kepada penurunan jumlah harian jangkitan semasa, berkemungkinan besar harapan kami itu tercapai. Itu sebab pentingnya vaksin ini," tambahnya lagi.

 

Baca: Vaksin jaminan industri kembali 'bernafas' 

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan mengumumkan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' Fasa Pertama di seluruh negara selama 14 hari.

 

.

 

Fasa pertama itu bermula pada 1 hingga 14 Jun 2021.

 

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian yang melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.

 

Fasa Kedua akan diteruskan sekiranya kes jangkitan harian berkurangan dengan membenarkan pembukaan semula beberapa sektor ekonomi yang tidak melibatkan perhimpunan yang besar serta boleh mematuhi penjarakan fizikal. 

 

'Lockdown' Fasa Kedua itu akan dilaksanakan untuk tempoh empat minggu selepas Fasa Pertama berakhir.

 

Bagi Fasa Ketiga pula, PKP akan diteruskan dengan membenarkan hampir semua sektor ekonomi untuk beroperasi selain tertakluk kepada SOP yang katat. - DagangNews.com