Vaksinasi sektor pembinaan bermula 1 Julai depan | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi sektor pembinaan bermula 1 Julai depan

Vaksinasi sektor pembinaan

KUALA LUMPUR 25 Jun - Program vaksinasi COVID-19 bagi sektor pembinaan di negara ini akan dimulakan pada 1 Julai depan.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin berkata, usaha berkenaan akan digerakkan dengan penyelarasan bersama pihak Kementerian Kerja Raya.

 

"Pemberian vaksin bagi sektor ini akan difokuskan kepada tapak pembinaan dan projek perlu yang masih beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

"Kita memberi tumpuan kepada semua sektor ekonomi penting yang kini dibuka dan beroperasi," katanya seperti dilapor Bernama.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang media program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan yang dikendalikan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) bermula hari ini.

 

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.

 

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya juga akan memperluas program pemberian vaksin kepada sektor perladangan yang masih dalam peringkat perbincangan.

 

Menurutnya, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) sudah memulakan perbincangan dengan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi kerana ladang masih beroperasi mengikut kebenaran.

 

"(Ini dalam usaha) untuk kita membawa pusat pemberian vaksin (PPV) industri ini ke ladang-ladang atau pun estet untuk pekerja-pekerja," katanya.

 

Mengulas berkaitan jumlah vaksinasi semasa negara, beliau memberitahu, hingga semalam negara telah mencapai 15.1% mereka yang disuntik dos pertama dan 5.8 % telah lengkap suntikan dos kedua.

 

"Jadi kita semakin menghampiri nilai ambang 10% yang diperlukan untuk kita membuat peralihan kepada fasa dua (sekatan pergerakan penuh) sama dengan nilai ambang jangkitan dan juga nilai ambang kemudahan unit rawatan rapi hospital," katanya lagi. - DagangNews.com