Vaksinasi `walk-In' untuk warga emas belum bermula, tunggu pengumuman CITF | DagangNews Skip to main content

Vaksinasi `walk-In' untuk warga emas belum bermula, tunggu pengumuman CITF

PUTRAJAYA 16 Julai - Warga emas di Lembah Klang yang mahu menjalani vaksinasi secara `walk-in' diminta tunggu sebentar dan jangan datang lagi ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) hari ini.

 

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) menjelaskan bahawa tarikh pelaksanaan dan maklumat lanjut berhubung kaedah vaksinasi ‘walk-in’ atau jumpa terus untuk warga emas di Lembah Klang akan dimaklumkan dalam masa terdekat. 

 

Sehubungan itu, CITF menasihati mereka yang berusia 60 tahun ke atas bersama pengiring yang tidak mempunyai janji temu vaksinasi supaya tidak hadir di mana-mana PPV hari ini.

 

"Ini untuk membolehkan perancangan inisiatif ini dimuktamadkan, seperti urusan logistik serta penghantaran bekalan stok vaksin di semua PPV,"  menurut CITF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

 

"Sama penting ialah merancang susunan waktu inisiatif walk-in ini untuk mengelakkan kesesakan di PPV terutamanya bagi warga emas ketika jumlah kes jangkitan COVID-19 yang semakin tinggi," menurut kenyataan itu. 

 

Pelaksanaan kaedah vaksinasi walk-in untuk warga emas berusia 60 ke atas itu diumumkan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba dalam satu sidang media khas Kementerian Kesihatan di sini semalam. - DagangNews.com