KUALA LUMPUR 27 Julai - Platform perkhidmatan maya Virtual Account Opening (VAO) hasil inisiatif transformasi digital Bank Islam Malaysia Bhd. dapat membantu memudahkan pelanggan dalam urusan pembukaan tiga akaun bank secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Muazzam Mohamed berkata, platform tersebut merupakan usaha Bank Islam ke arah memperluaskan akses perbankan di samping dapat menjimatkan kos.
"Tiga akaun bank yang terpilih adalah Akaun Simpanan Asas Bank Islam, Akaun Simpanan Qard serta Akaun Pelaburan Al-Awfar.
"Kemudahan ini diberi bertujuan untuk menambah manfaat dan nilai kepada pelanggan dan berperanan dalam membentuk industri perbankan masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.
VAO telah menaik taraf prosedur pembukaan akaun secara tradisional kepada sistem dalam talian dengan hanya mengisi e-borang di laman web vao.bankislam.com.my.
Sejak dilancarkan pada Februari 2018, Bank Islam telah menerima purata hampir 2,000 pembukaan akaun pada setiap bulan.
Ekoran permintaan tinggi itu, Bank Islam merancang untuk mengintegrasikan fungsi VAO ke dalam aplikasi mudah alih Go by Bank Islam yang bakal memberikan lebih nilai kepada pelanggan.
Bank Islam juga akan memperkenalkan ciri-ciri tambahan lain yang tidak memerlukan pelanggan hadir secara bersemuka bagi melengkapkan proses pembukaan akaun melalui VAO.
Fungsi baharu itu dijangka akan mula diperkenalkan pada awal suku ketiga 2020 yang dijangka menjana peningkatan pesat dalam jumlah pendaftaran pelanggan secara dalam talian.
"Kami sentiasa berinovasi bagi menggiatkan inisiatif peka pelanggan di samping mewujudkan perkhidmatan perbankan yang lebih mudah, bijak dan fleksibel.
"Ini merupakan usaha yang amat penting dalam mendepani impak COVID-19. Menerusi VAO, Bank Islam sentiasa peka terhadap keperluan pelanggan yang seiring dengan trend digital masa kini," tambahnya lagi. - DagangNews.com