NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
[email protected]
KUALA LUMPUR 10 Nov - Penyedia sistem teknologi Internet Kebendaan (IoT) tempatan, Vectolabs Technologies Sdn. Bhd. (Vectolabs) berjaya meraih kontrak bersama Petronas Digital Sdn. Bhd. (PDSB) bagi menyediakan sistem keselamatan untuk aset kenderaan berat syarikat itu.
Sistem Keselamatan Pengangkutan Edge AI dibangunkan bersama PDSB yang membolehkan penguatkuasaan polisi pengurusan keselamatan kenderaan Petronas dilakukan dan sebanyak 150 kenderaan akan dilengkapi dengan sistem itu menjelang akhir tahun ini bagi fasa pertama.
Model yang menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) itu dibangunkan oleh PDSB yang dan Vectolabs dipilih sebagai penyedia sistem perkakasan untuk sistem berkenaan.
Sistem itu dibangunkan bagi menangani isu keselamatan berkaitan kenderaan berat milik Petronas serta mematuhi polisi Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE) organisasi tersebut.
Penggunaan AI menjanjikan peningkatan produktiviti, kecekapan dan keselamatan dalam beberapa sektor termasuk pengangkutan dan membantu menjadikan semua jenis kenderaan menjadi lebih selamat.
Sistem AI mampu mengesan pelanggaran peraturan keselamatan oleh pemandu yang mengantuk, menggunakan telefon bimbit, tidak memeriksa cermin, tidak fokus memandu (kerana makan, minum atau merokok) atau tidak memakai tali pinggang keledar menerusi data telematik Rangkaian Kawasan Pengawal (Controller Area Network - CANBUS).
Bagaimanapun, sistem tersebut hanya akan mengesan aspek pelanggaran peraturan keselamatan ketika kenderaan sedang beroperasi dan tidak akan melanggar privasi pemandu ketika mereka berehat atau tidak bertugas.
Sistem ini juga mampu mengesan pelanggaran had kelajuan dengan sangat tepat menggunakan data telematik berbanding dengan sistem pengesanan GPS yang mempunyai keterbatasan seperti tidak dapat mengesan apabila hilang isyarat ketika kenderaan melalui bawah jambatan, jejantas atau terowong.
“Apabila model AI mengesan sebarang pelanggaran peraturan keselamatan, pemandu akan dimaklumkan serta-merta dan laporan akan terus dihantar kepada sistem di ibu pejabat untuk tindakan selanjutnya.
"Ini merupakan pendekatan yang proaktif bagi mengelak berlakunya kemalangan, bukannya tindakan reaktif iaitu selepas berlakunya kejadian seperti sebelum ini.
"Pembangunan sistem tersebut menggambarkan usaha pendigitalan Petronas selari dengan penerapan budaya HSE di dalam organisasi tersebut. PDSB memanfaatkan teknologi AI untuk menguatkuasakan dasar pengurusan keselamatan secara proaktif dengan mengesan potensi kejadian sebelum ia berlaku,” kata Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Vectolabs, Faizal Ali.
Antara pelanggan Vectolabs adalah PETRONAS, Bateriku.com, Alam Flora dan TMOne. Syarikat itu juga baru-baru ini berjaya membangunkan infrastruktur IoT untuk aplikasi lampu jalan pintar yang pertama di Presint 15 bersama-sama dengan Perbadanan Putrajaya.
Projek tersebut merupakan infrastruktur IoT pertama dikendalikan oleh majlis perbandaran di Malaysia menggunakan teknologi LoRa di Putrajaya, bagi meningkatkan inisiatif di bawah Rangka Tindakan Bandar Pintar Putrajaya.-DagangNews.com