MELAKA 17 Jun – Vendfun Sdn Bhd, penyedia penyelesaian kios hospitaliti hari ini melancarkan Vendfun Hybrid Kiosk, kios inovatif 2-dalam-1 yang menggabungkan ciri-ciri daftar masuk dan keluar layan diri dengan keupayaan menjual.
Vendfun Hybrid Kiosk dilengkapi panel skrin sentuh 50 inci yang membolehkan penginap mendaftar masuk dan keluar di samping menebus baucar promosi dan membeli produk seperti makanan dan minuman.
Vendfun Hybrid Kiosk yang sedang dipatenkan dipasarkan kepada hotel-hotel bajet dan homestay di Malaysia dan boleh didapati secara sewa atau sewa beli secara langsung daripada Vendfun.
Ciri-ciri utama Vendfun Hybrid Kiosk adalah kemudahan pembayaran tanpa tunai, pengimbas pasport, pengeluaran kad bilik, dan keupayaan menjual terbina dalam.
Kios ini juga serasi dengan mana-mana perisian sistem pengurusan harta tanah (PMS) hotel bagi membolehkan pihak hotel menyesuaikannya dengan ciri-ciri yang dikehendaki.
Pengasas dan CEO Vendfun Benny Wee berkata, “Kami berasa amat teruja memperkenal Vendfun Hybrid Kiosk ke pasaran kerana kami tahu banyak hotel sedang terus-menerus menghadapi pelbagai isu sumber manusia sambil bertungkus-lumus mengurangkan kos bagi mengharungi wabak COVID-19, dan seterusnya.
"Jadi, kami ingin membantu mereka dengan mengautomasikan perkhidmatan daftar masuk dan keluar bagi meningkatkan kecekapan operasi dan memberi kemudahan kepada penginap hotel,” katanya dalam kenyataan di sini.
Selain automasi, Vendfun Hybrid Kiosk juga menawarkan peluang pulangan pelaburan yang unik yang tidak dapat ditawarkan oleh kios lain dalam pasaran. Hotel dapat memiliki aliran pendapatan baharu apabila mereka mula menjual minuman, makanan ringan, dan produk penjagaan diri melalui kios.
Tiga unit Vendfun Hybrid Kiosk telah dipasang di Hotel Fenix Inn di Melaka, Hotel Sky View di Dengkil, Selangor, dan di GM Hotel Sunway Metro di Selangor. Syarikat telah menerima tempahan daripada hotel-hotel lain di Selangor dan menjangka akan memasang lebih banyak Vendfun Hybrid Kiosk menjelang Jun.
Pengurus Hotel di Hotel Sky View, PY Khoo berkata, “Vendfun Hybrid Kiosk dapat membantu kami menyelesaikan masalah sumber manusia, khususnya bagi syif malam. Kami juga suka yang kami kini dapat menawarkan minuman percuma secara langsung di kios kepada penginap hotel apabila mereka mendaftar masuk. Ia sangat unik!”
Vendfun merancang untuk menambah penyelesaian-penyelesaian baru pada kiosnya tidak lama lagi. Ini termasuk perkhidmatan e-rencam dan keahlian bagi memberikan pengalaman penginapan dipertingkat yang lengkap kepada para penginap hotel.
Sebahagian peta jalannya, Vendfun merancang menambah komponen kepintaran buatan (AI) pada kios menjelang akhir tahun.
“Kami ingin menambah AI supaya hotel dapat menawarkan lebih banyak perkhidmatan yang diperibadikan. Contohnya, apabila sistem mengesan penginap mendaftar masuk dengan anak, kios akan mengeluarkan hadiah alu-aluan istimewa untuk si anak sebagai tanda penghargaan kesudian mereka menjadi pelanggan,” jelas Benny.
“Satu lagi kegunaan AI ialah bagi meningkatkan keselamatan. Kami menimbang menggunakan pengecaman wajah bagi menyemak kad pengenalan penginap bagi memastikan bahawa orang pada kad adalah sama dengan yang mendaftar masuk,” dia menyimpulkan.
"Serasi dengan mana-mana PMS, Vendfun sangat berminat untuk bekerjasama dengan pemain-pemain PMS hotel dalam pasaran untuk kemajuan bersama," kata Benny. - DagangNews.com