Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Okt. - airasia.com hari ini kini diterjemahkan ke dalam identiti baharu sebagai sebuah aplikasi super ASEAN, melengkapkan transformasi Kumpulan AirAsia Berhad (AirAsia) daripada sebuah syarikat penerbangan digital kepada platform gaya hidup yang komprehensif.
Sebagai permulaan era baharu AirAsia, aplikasi super airasia.com itu menawarkan pengalaman pengguna yang lebih mudah, pantas dan lancar untuk mengakses lebih daripada 15 jenis produk dan perkhidmatan di bawah tiga kategori utama iaitu perjalanan, e-dagang dan teknologi kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, airasia.com akan menjadi sebuah jenama aplikasi super ASEAN terbaik untuk melengkapi perjalanan pelanggan.
“AirAsia adalah sebuah syarikat untuk semua. Kami telah merevolusikan industri penerbangan sejak 19 tahun yang lalu dan merealisasikan impian berjuta-juta orang untuk terbang.
“Kami berbangga untuk menjadi peneraju dalam menghubungkan rantau ASEAN, menawarkan nilai, kemudahan dan keterangkuman untuk semua. Kini dengan airasia.com, kami bukan sahaja menawarkan penerbangan, malah penginapan, beli-belah, makanan, dan banyak lagi semuanya dalam satu aplikasi super.
“Pengembangan perniagaan digital juga membolehkan kami menawarkan pelbagai produk di airasia.com daripada penerbangan hingga gaya hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi meraikannya, airasia.com memperkenalkan jualan airasia.com Super Sale yang pertama untuk menggantikan jualan Tempat Duduk Percuma AirAsia.
Jualan terbesar di rantau itu akan berlangsung bermula 12 Oktober hingga 18 Oktober 2020 dengan diskaun sebanyak 90% dalam semua kategori produk di aplikasi super dan laman airasia.com.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan berkata, pelancaran aplikasi super airasia.com adalah bukti budaya inovasi berterusan AirAsia dan dorongan syarikat untuk memberikan nilai terbaik kepada para pelanggan.
“Dalam era baharu pasca COVID-19 ini, kami memahami keperluan fleksibiliti perjalanan, justeru kami melancarkan Pas Tanpa Had AirAsia yang inovatif dengan menawarkan pas penerbangan yang boleh ditebus kemudian dan ia telah menjadi ikutan pemain industri lain.
“Kami turut memahami keinginan para pelanggan untuk melancong dan telah melancarkan SNAP, pakej penerbangan dan hotel dengan harga terbaik.
“Aplikasi super kami kini menawarkan pengalaman pengguna yang lebih lancar yang membolehkan mereka membayar dengan BIG Poin untuk pelbagai produk dan membuat pembayaran dengan hanya satu klik,” katanya dalam kenyataan sama.
Para pengguna juga boleh mengumpul BIG Poin sebanyak dua kali ganda dalam tempoh jualan berkenaan dan membayar menggunakannya untuk pembelian di airasia.com.
Pengguna BigPay pula boleh membuat pembayaran dengan lancar menerusi ciri ‘One-Click’ menggunakan kad BigPay. - DagangNews.com