KUALA LUMPUR 1 Julai - ViTrox Corporation Bhd menerusi ViTrox Technologies Sdn Bhd menganugerahkan kontrak bernilai RM45.98 juta kepada South Island Building Sdn Bhd untuk kerja-kerja cerucuk dan bangunan utama pusat latihan kumpulan itu di Taman Perindustrian Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, kontrak itu melibatkan pembinaan pusat latihan dan pusat penyelidikan industri lima tingkat serta satu unit pencawang Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Persiaran Cassia Selatan 10,Taman Perindustrian Batu Kawan.
"Projek itu akan dimulakan pada 8 Julai 2024 dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan iaitu pada 7 Januari 2026 termasuk semua perayaan serta cuti umum," katanya.
ViTrox berkata,Pembinaan dirancang di atas tanah seluas 8.5 hekatar yang diperoleh pada Jun 2021 sejajar dengan pelan induk pengembangan 10 tahun kumpulan itu berpaksikan idea membina ekosistem teknologi tinggi tempatan di Taman Perindustrian Batu Kawan menerusi usaha kerjasama antara sektor swasta, kerajaan dan institusi pengajian tinggi.
Ekosistem itu merangkumi automasi berteknologi tinggi, robotik dan taman inovasi kecerdasan buatan (AI), Taman Inovasi ViTrox, yang terdiri daripada syarikat tempatan yang besar dengan penyelidikan serta kemudahan pembangunan, pusat kecemerlangan, kemudahan pembuatan termaju, syarikat pemula teknologi, dan institut teknologi.
Kumpulan itu memberi bayangan institut itu sebagai pusat kecemerlanagan untuk jurutera dan saintis bagi menjalankan penyelidikan serta pembangunan serta aktiviti yang menjurus ke arah inovasi dan penemuan teknologi.
Selain menghadiri kuliah, kumpulan 3,000-4,000 bakat akan bekerjasama dengan jurutera bagi menyelesaikan masalah kejuruteraan dunia sebenar dan menangani kekurangan bakat, terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan sains komputer, di mana terdapat ketidakpadanan yang jelas antara latihan dan kemahiran yang diperolehi oleh graduan serta keperluan industri.
"Pusat latihan dan penyelidikan industri bertujuan menyediakan pendidikan yang berteraskan industri, memberi inspirasi dan inklusif dengan penekanan yang kuat pada persekitaran pembelajaran yang menarik dan praktikal.
"Pendekatan ini direka bentuk untuk mewujudkan bakat yang bersedia memenuhi keperluan pasaran, merapatkan jurang antara keperluan pendidikan dan industri," katanya.- DagangNews.com