WELLINGTON 10 Julai - Dunia bakal berdepan dengan krisis ekonomi, politik dan sosial sekiranya masih leka dan berlengah dalam tindakan menentang pandemik COVID-19.
Bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark memberi amaran berkenaan selepas dilantik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk mengetuai tinjauan tindakan global terhadap wabak berkenaan.
Semalam, WHO mengumumkan perlantikan Clark dan pada masa yang sama bekas Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf pula akan mengetuai panel pemerhati tindakan global berkenaan.
Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi laporan REUTERS menggelarkan kedua-dua wanita berkenaan sebagai pemimpin yang cekal dan berdikari sekali gus memberi kebebasan kepada mereka untuk menilai tindakan agensi dan kerajaan terhadap penularan pandemik COVID-19.
Dalam temu bual bersama media antarabangsa, Clark memberitahu, WHO telah mengisytiharkan kecemasan kesihatan awam kali keenam dalam tempoh 17 tahun ekoran wabak seumpamanya.
"Wabak ini akan berlaku lagi sekiranya dunia masih berlengah dan leka seperti sekarang. Kita akan berdepan dengan krisis ekonomi, sosial dan politik yang cukup serius," jelasnya kepada media antarabangsa itu.
Clark mengakui tugas dan tanggungjawab yang digalas itu adalah sangat mencabar buat dirinya dan memberitahu akan berada di perkampungannya di Auckland sepanjang menjalankan tugas berkenaan.
Sebagai rakyat New Zealand, Clark turut memuji kerajaannya yang berjaya mengurangkan wabak COVID-19 sekali gus dapat memperbaiki perkembangan ekonomi.
Clark merupakan pemimpin New Zealand bermula pada 1999 hingga 2008 sebelum dikalahkan oleh Antonio Guterres pada empat tahun lalu untuk memimpin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau sebelum ini turut mengetuai Program Pembangunan PBB dan bertugas sebagai panel WHO dalam kes obesiti kanak-kanak. - DagangNews.com