Warta pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan Akta 342 tak sama dengan pewartaan proklamasi darurat - KKM | DagangNews Skip to main content

Warta pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan Akta 342 tak sama dengan pewartaan proklamasi darurat - KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil menjelaskan kekeliruan antara Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No. 2) 2021 [P.U (A) 313/2021] 'Perintah' dengan Proklamasi Darurat [P.U (A) 7/2021] 'Proklamasi'.

 

Menurut KKM, Perintah tersebut dibuat di bawah subseksyen 11 (1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

 

Perintah berkenaan bertujuan untuk melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga 31 Disember 2021.

 

"Sebelum ini, kuat kuasa perintah ini dilanjutkan bagi tempoh 1 April hingga 1 Ogos 2021. Perintah ini telah menetapkan bahawa semua negeri dan Wilayah Persekutuan di Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan.

 

"Dengan berkuat kuasanya Perintah ini, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

 

"Selain itu, Perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11 (2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peratusan mengenai Pelan Pemulihan Negara," jelas KKM dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menjelaskan berkaitan Proklamasi darurat pula, KKM memberitahu, proklamasi tersebut dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

 

Perkara tersebut membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh Malaysia mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021.

 

Jelas KKM lagi, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

 

"Perintah ini mahupun Proklamasi Darutat telah diwartakan dan telah menjadi dokumen awam yang boleh diakses melalui portal Jabatan Peguam Negara (ACG). 

 

"Oleh itu, semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran yang tersendiri dan tidak tepat mengenai Perintah ini bagi mengelak salah faham dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat," jelas KKM lagi. - DagangNews.com