Wartawan veteran Wong Sai Wan meninggal dunia | DagangNews Skip to main content

Wartawan veteran Wong Sai Wan meninggal dunia

 

SHAH ALAM 14 Mei - Ketua Pengarang The Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan, 59, meninggal dunia pada jam 5 pagi Jumaat ketika sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Subang Jaya di sini.

 

Anaknya, Wong Chee Mun mengesahkan pemergian Sai Wan ketika dihubungi Bernama.

 

Menurut Chee Mun, bapa beliau memiliki sejarah masalah jantung dan pernah diserang strok.

 

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, mendiang adalah seorang wartawan veteran yang memulakan kerjaya kewartawanannya di akhbar The Star pada awal tahun 1980-an.

 

Beliau pernah menjadi koresponden The Star di Hong Kong dan kemudian menyandang jawatan pengarang eksekutif sebelum dilantik sebagai ketua pengarang Malay Mail.

 

Pemergiannya amat dirasai oleh para pengamal media dan mereka yang pernah mengenalinya khusus para pemimpin politik.

 

Berasal dari Negeri Sembilan, Sai Wan akan dikenang sebagai seorang yang petah bertutur dalam loghat negeri.

 

Sidang Editorial Dagang News yang juga rapat dengan mendiang termasuk ketika permulaan kelahiran portal ini mendapat nasihat dan bimbingan berguna daripada Sai Wan, merakamkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mendiang. 

 

Pengarang Urusan Dagang News, Johardy Ibrahim berkata, pemergian Sai Wang amat dirasai kerana sering berhubung dengan mendiang, termasuk paling terbaru, malam raya lepas bila beliau mengutus ucapan Selamat Hari Raya menerusi WhatsApp.

 

"Sambil itu Sai Wang menanya saya sama ada masih di Kuching atau KL, dan kemudian saya ajak jumpa pada minggu hadapan. Lazimnya, bila berjumpa saya akan ambil kesempatan mendapatkan buah fikirannya mengenai pelbagai perkara. Nampaknya, tidak kesampaian hajat ini," katanya. - DagangNews.com