Wasiyyah Shoppe penyedia hibah hartanah bercagar tertinggi Malaysia | DagangNews Skip to main content

Wasiyyah Shoppe penyedia hibah hartanah bercagar tertinggi Malaysia

Ariffin Sabirin

Ariffin Sabirin 

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 27 Jan. - Syarikat amanah patuh syariah terbesar di Malaysia dengan kepakaran di dalam bidang penyediaan dan perlaksanaan hibah, Wasiyyah Shoppe Berhad (Wasiyyah Shoppe) berjaya membantu 45,000 orang Islam menyediakan dokumen hibah untuk hartanah yang masih bercagar (hartanah dalam pembiayaan) bagi tempoh hingga 31 Disember 2020.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ariffin Sabirin berkata, Wasiyyah Shoppe ialah syarikat amanah patuh syariah pertama di Malaysia yang memperkenalkan kaedah hibah hartanah bercagar semenjak 2015 dan merupakan penyedia dokumen terbanyak bagi segmen pasaran tersebut.

 

"Kami mula memperkenalkan kaedah hibah pada 2004 sebaik sahaja mula beroperasi namun kaedah hibah untuk hartanah bercagar ini kami perkenalkan secara agresif mulai 2015," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Wasiyyah Shoppe memperkenalkan perkhidmatan tersebut melihatkan kepada keperluan yang sangat mendesak bagi ibu bapa yang membeli rumah secara pinjaman dan ingin menghibahkan rumah anak-anak yang masih di bawah umur.

 

"Apabila salah seorang atau kedua-dua pasangan ini meninggal dunia, rumah yang masih bercagar itu menjadi harta pusaka dan mempunyai hak waris-waris mengikut hukum faraid ke atasnya. 

 

"Melalui pengalaman operasi 17 tahun, kami mendapati kebiasannya pasangan dan anak-anaklah yang akan bertungkus-lumus melangsaikan baki pinjaman kerana mereka menetap di rumah tersebut. 

 

"Waris-waris faraid yang lain biasanya hanya lebih berminat untuk menuntut hak selepas baki pinjaman dilangsaikan," tambah beliau lagi.

 

Perkhidmatan hibah hartanah bercagar yang ditawarkan Wasiyyah Shoppe Berhad membantu mengatasi cabaran tersebut.

 

Hartanah yang telah dihibahkan tidak akan menjadi harta pusaka dan tidak perlu diagihkan kepada waris mengikut hukum faraid kerana ia menjadi milik penerima hibah sepenuhnya.   

 

Sebagai institusi berteraskan ilmiah, Wasiyyah Shoppe Berhad mendanai penyelidikan yang dibuat bersama Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan isu tersebut pada 2017. 

 

Dapatan dari penyelidikan ini kemudiannya diaplikasi sepenuhnya ke dalam perkhidmatan hibah hartanah bercagarnya.  

 

“Sebagai penyedia dan pelaksana hibah hartanah bercagar paling berpengalaman di Malaysia, kami memegang prinsip kepatuhan syariah tanpa kompromi dalam pelaksanaan hibah kami. 

 

"Semua kes hibah kami menggunakan instrumen patuh syariah dan dikuatkuasakan juga melalui Mahkamah Syariah," katanya.

 

Menariknya, diskaun hingga 50% menanti lebih ramai orang Islam yang ingin menghibahkan hartanah yang masih dalam cagaran dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). - DagangNews.com