WEF batal Mesyuarat Tahunan Khas 2021 di Singapura | DagangNews Skip to main content

WEF batal Mesyuarat Tahunan Khas 2021 di Singapura


SINGAPURA 18 Mei - Forum Ekonomi Dunia (WEF) telah memaklumkan kepada Kerajaan Singapura bahawa ia akan membatalkan Mesyuarat Tahunan Khas WEF 2021, yang dijadualkan berlangsung di republik itu dari 17-20 Ogos depan. 

 

Pembatalan itu dibuat susulan ketidaktentuan global yang berterusan akibat COVID-19, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik berkenaan sebagai respons kepada pertanyaan media hari ini. 

 

''Kerajaan Singapura  memahami sepenuhnya cabaran yang disebabkan oleh pandemik  ini, terutamanya  yang membabitkan pertemuan besar-besaran  peserta antarabangsa.

 

''Kami akan terus bekerjasama secara aktif dengan Forum Ekonomi Dunia dan organisasi antarabangsa utama lain bagi menggalakkan kerjasama antara pihak berkepentingan dalam isu-isu kebimbangan global,'' kata kementerian itu, lapor Bernama.

 

Secara berasingan, WEF menjelaskan keadaan tragik yang merentasi geogra, prospek perjalanan yang tidak menentu, perbezaan kecepatan pelancaran vaksinasi dan ketidakpastian  mengenai varian virus baharu semasa telah  mendatangkan cabaran  untuk merealisasikan pertemuan global dengan pemimpin masyarakat perniagaan, kerajaan serta dari seluruh dunia pada skala yang telah dirancang. 

 

Mesyuarat Tahunan yang akan datang sebaliknya akan berlangsung pada separuh pertama 2022 dengan lokasi dan tarikh akhir akan ditentukan berdasarkan penilaian yang akan dibuat nanti.

 

"Pembatalan ini merupakan keputusan yang sukar, memandangkan kepentingan besar rakan kongsi kami untuk datang bersama-sama bukan sahaja secara maya tetapi secara  individu dan bagi menyumbang kepada dunia yang lebih berdaya tahan, lebih inklusif  serta lebih mampan," kata Pengasas dan Pengerusi
Eksekutif WEF Profesor Klaus Schwab dalam laman webnya. 

 

Profesor Klaus Schwab
Profesor Klaus Schwab

 

"Tetapi akhirnya, kesihatan dan keselamatan semua orang yang terlibat lebih diutamakan.”

 

''Kami akan terus melibatkan rakan kongsi kami yang semakin meningkat, ke dalam pelbagai aliran kerja kami bagi menangani isu-isu utama dalam agenda global melalui kerjasama awam swasta,'' kata Schwab. - DagangNews.com