Yayasan ROSE rangkul Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS | DagangNews Skip to main content

Yayasan ROSE rangkul Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS

(Dari kiri) Pengarah Operasi Yayasan ROSE, Yam Mun Li; Pemegang Amanah Yayasan ROSE, Prof Marion Saville, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, Pengasas Pemegang Amanah dan Penasihat Teknikal Perubatan Yayasan ROSE, Prof Dr Woo Yin Ling dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan ROSE, Choo Yit Lee ketika majlis Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS 2022, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Yayasan ROSE, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia yang berdedikasi untuk penghapusan kanser serviks, dipilih sebagai pemenang Asia pertama anugerah global di bawah program Anugerah Kecemerlangan Penjagaan Kesihatan UNIVANTS untuk 2022.

 

Pengerusi Yayasan ROSE, Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman berkata, pihaknya amat berbesar hati untuk diiktiraf sebagai organisasi Asia yang pertama untuk memenangi anugerah berprestij ini, yang menggariskan kejayaan Program ROSE.

 

Beliau berkata, lebih 24,000 wanita disaring setakat ini dan lebih daripada 92.5% kes HPV (Human Papillomavirus) yang dikesan telah dihubungkan kepada penjagaan, anugerah tersebut akan memberi inspirasi kepada Yayasan ROSE untuk mengembangkan penggunaan teknologi kesihatan yang berimpak tinggi.

 

Katanya, melalui pendekatan inovatif ini, hampir 200 wanita berjaya dirawat untuk pra-kanser dan kanser peringkat awal. 

 

"Model Program ROSE bukan sahaja menangani isu kesihatan yang kritikal tetapi benar-benar memperkasakan wanita untuk menjaga kesihatan mereka sendiri. 

 

"Pemeliharaan privasi dan maruah mereka sepanjang proses saringan memberi manfaat yang ketara dan meluas untuk pesakit, doktor dan sistem kesihatan yang lebih luas.

 

"Matlamat kami adalah untuk memperkasakan komuniti yang kurang disaring dan terpinggir kerana kami kekal teguh dalam misi kami untuk mencipta sejarah kanser serviks di negara kita," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

rose

 

 

rose

 

 

Terdahulu, anugerah tersebut mengiktiraf pasukan yang bekerjasama merentas disiplin dan mengubah penyampaian penjagaan kesihatan dan akhirnya, kehidupan pesakit. 

 

Yayasan ROSE telah dipilih sebagai salah satu daripada tiga pemenang global teratas untuk Program ROSE (Removing Obstacles to Cervical ScrEening). 

 

Dua pemenang lain ialah Hospital Ipswich di United Kingdom dan National Basketball Association (NBA) Amerika Syarikat.

 

 

rose

 

 

Program ROSE ialah program saringan serviks HPV primer yang menggabungkan pensampelan kendiri dan teknologi digital untuk memastikan wanita yang disaring dan dikesan dengan virus HPV akan dihubungkan untuk rawatan susulan di hospital awam. Tindakan susulan dilakukan melalui telefon bimbit wanita berkenaan.

 

Tunjang kisah kejayaan Program ROSE bukan sahaja semata-mata kerana integrasi lancar pensampelan kendiri, ujian HPV primer, platform kesihatan digital yang memanfaatkan teknologi mudah alih dan rantaian yang kukuh kepada penjagaan, tetapi juga kepada perpautan antara pendidikan, penglibatan komuniti dan advokasi. - DagangNews.com