KUALA LUMPUR 23 Mac - Yinson Holdings Berhad mencatatkan peningkatan untung bersih sebanyak 15.95% kepada RM109 juta bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding RM94 juta bagi suku sama tahun lalu.
Bagi suku sama, kumpulan berkenaan mencatatkan peningkatan hasil kepada RM1.9 bilion berbanding RM741 juta bagi suku sama tahun lalu.
Kumpulan itu berkata, peningkatan itu adalah disebabkan oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perniagaan kejuruteraan, perolehan, pembinaan, pemasangan dan pentauliahan (EPCIC) (berdasarkan kemajuan pembinaan).
Katanya, sumbangan yang lebih tinggi daripada aktiviti perniagaan EPCIC timbul daripada sumbangan yang lebih tinggi daripada FPSO Maria Quitéria, yang sebahagiannya diimbangi oleh sumbangan yang lebih rendah daripada FPSO Anna Nery dan FPSO Atlanta.
"Keuntungan sebelum cukai kumpulan bagi suku keempat tahun kewangan semasa menurun sebanyak 42% atau RM108 juta kepada RM150 juta berbanding RM258 juta pada suku ketiga berakhir 31 Oktober 2022 (3QFY23).
"Penyusutan itu disebabkan kerugian rosot nilai ke atas hartanah, loji dan peralatan seperti yang dibincangkan dalam bahagian Tenaga Boleh Diperbaharui dan pelaburan dalam syarikat bersekutu masing-masing sebanyak RM117 juta dan RM8 juta.
"Selain itu kos pembiayaan yang lebih tinggi sebanyak RM11 juta dalam tempoh kewangan semasa, yang sebahagiannya diimbangi oleh keuntungan sekali sahaja daripada pelupusan unit terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) Adoon sebanyak RM22 juta," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Mengulas mengenai prospek masa hadapan, kumpulan itu berkata, permintaan tenaga global telah meningkat dan mengatasi bekalan, menyebabkan ketegangan pada rantaian bekalan tenaga global.
Katanya, walaupun permintaan untuk sumber tenaga alternatif seperti tenaga boleh diperbaharui telah melonjak, prospek minyak dan gas asli kekal kukuh dengan ketara dalam jangka panjang.
"Permintaan untuk FPSO adalah positif dengan peningkatan dalam sekatan projek di seluruh dunia terutamanya dari Brazil, sebagai pusat permintaan FPSO tertinggi, diikuti oleh Afrika Barat.
"Walaupun permintaan tenaga yang menggalakkan bagi perniagaan dalam industri minyak dan gas, konflik Rusia-Ukraine agak membimbangkan.
"Sekatan ke atas Rusia dan Belarus menyebabkan inflasi lebih lanjut dan kesesakan rantaian bekalan terhadap ekonomi global, walaupun ketika pandemik COVID-19 sudah berubah menjadi endemik. Di peringkat global, kadar faedah juga telah meningkat dengan ketara dalam tahun kewangan semasa," katanya. - DagangNews.com