KUALA LUMPUR 4 Okt - Anak syarikat YLI Holdings Berhad iaitu Laksana Wibawa Sdn. Bhd. telah menerima pampasan berjumlah RM97.84 juta bagi tanahnya di Hulu Serendah yang wajib diambil bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Pengeluar keluli itu berkata, tanah itu diambil alih oleh Malaysian Rail Link Sdn. Bhd., sebuah agensi di bawah Kementerian Kewangan Inc (MOF Inc), yang telah dilantik sebagai pemilik aset dan projek ECRL.
Kumpulan itu berkata pampasan RM97.84 juta itu termasuk pampasan bagi ganti rugi pemberhentian.
Berikutan pelupusan itu, YLI dijangka memperoleh kira-kira RM62.17 juta dan ia akan menggunakan sebahagian besar hasil untuk perbelanjaan dan pembayaran balik pinjamannya, serta penebusan saham keutamaan boleh tukar boleh tebus (RCPS)
“Pelupusan wajib itu wujud berikutan penerimaan daripada Pentadbir Tanah notis bagi mengambil alih tanah di bawah Seksyen 18 Akta Pengambilan Tanah 1960,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.
Pada masa penulisan, saham YLI meningkat 6.5 sen atau 20.97% lebih tinggi pada 37.5 sen, diterjemahkan kepada permodalan pasaran sebanyak RM39.12 juta. - DagangNews.com