KUALA LUMPUR 1 Julai – Perkhidmatan mudah alih digital sepenuhnya dan boleh diubah suai yang pertama di Malaysia, Yoodo berganding tenaga dengan iQiyi untuk membawakan pengalaman penstriman dan hiburan terbaik dengan add-on 20GB baharu iQiyi pada hanya RM1.
Dalam satu kenyataan hari ini, Yoodo berkata syarikat itu akan mengadakan promosi RM1 ini bermula 1 Julai sehingga 30 September 2021. Selepas tempoh ini, harganya adalah RM7 bagi 20GB yang sama bermula 1 Oktober 2021.
Menurut Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo, jenama tersebut amat berbangga menjalinkan kerjasama yang memberikan manfaat kepada pengguna, dengan iQiyi sebagai contoh utama.
“Kami bukan sahaja membawakan pelbagai kandungan Asia kepada pengguna – sama ada K-drama, anime ataupun rancangan aneka ragam – bahkan kami juga memastikan ianya dilakukan pada kadar yang hebat dan berpatutan, beserta manfaat istimewa untuk para pengguna Yoodo,” ujar beliau.
Dalam satu siri pemberian secara ‘siapa cepat dia dapat’, Yoodo akan memberikan 5,000 pas VIP Standard iQiyi International secara percuma bermula dari 1 Julai 2021.
Pas VIP Standard iQiyi International tersebut membolehkan para pengguna menikmati pengalaman tontonan tanpa iklan, strim melalui beberapa skrin dan peranti secara serentak, tonton episod seterusnya dengan lebih awal, dan banyak lagi.
Semua pengguna Yoodo boleh menebus dan menikmati pas VIP Standard iQiyi International secara percuma selama sebulan. Manakala bagi pengguna iQiyi yang mula melanggan Yoodo ketika tempoh promosi ini pula akan menikmati manfaat berganda iaitu tambahan RM1 tersebut dan juga dapt menebus satu pas VIP Standard iQiyi International.
“Di Yoodo, kami sentiasa berusaha untuk membawakan tawaran yang memenuhi kehendak pengguna. Setelah meneliti peningkatan dalam permintaan hiburan Asia dan Korea, kami memutuskan ini adalah salah satu cara untuk memenuhi permintaan mereka,” tambah Tuck Mun.
“Usaha sama ini membolehkan kami untuk mengekalkan kedudukan Yoodo sebagai penyedia perkhidmatan telekomunikasi yang benar-benar memberikan pelanggan kebebasan memilih berdasarkan keperluan gaya hidup unik mereka.”
Antara Ogos 2020 dan Februari 2021, iQiyi dinobatkan sebagai aplikasi penstriman OTT yang paling banyak dimuat turun di App Store dan Play Store, mengikut syarikat tersebut.
Pengurus Negara bagi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, iQiyi menumpukan untuk membawa hiburan Asia yang digemari peminat, terutamanya setelah dibuktikan melalui kandungan tempatan, Korea dan Cina yang mendapat sambutan hangat dari penonton Malaysia.
"Melalui usahasama dengan Yoodo, para pengguna dapat menikmati lebih 3,000 rancangan Asia terbaharu dan terbaik dari iQiyi,” kata beliau.
“Usaha Yoodo untuk sentiasa memenuhi permintaan pelanggan adalah amat sejajar dengan nilai iQiyi. Kami amat teruja untuk melancarkan usahasama ini dan kami tidak sabar untuk memberikan pengalaman penstriman terbaik kepada para pengguna Yoodo,” ujarnya lagi.
Usaha sama dengan iQiyi merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Yoodo dalam membawakan tambahan hiburan, termasuklah Spotify, YouTube, Joox dan banyak lagi. Yoodo juga baru-baru ini telah membawakan kembali promosi 20GB untuk RM20 yang kini boleh dinikmati oleh semua pengguna Yoodo. - DagangNews.com