Oleh NABILA YASMIN RAZIB
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Zurich Malaysia mengumumkan peruntukkan berjumlah RM2 juta untuk perlindungan perbelanjaan berkaitan COVID-19 menerusi Program Bantuan COVID-19 Perniagaan untuk semua pelanggannya yang layak.
Ketua Negara Zurich Malaysia, Junior Cho berkata program tersebut disediakan oleh Zurich General Insurance dan Zurich General Takaful.
Katanya, pelanggan yang pekerjanya yang disahkan positif COVID-19 boleh menuntut perbelanjaan bagi pembasmian kuman di premis serta saringan COVID-19 untuk pekerja termasuk pekerja yang dijangkiti dan tidak dijangkiti yang telah membuat saringan COVID-19.
"Pandemik ini telah mendatangkan cabaran ekonomi yang hebat bagi perniagaan dan kami memahami kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan kami.
"Program ini dilancar hasil maklum balas dari pelanggan dan bertujuan untuk membantu mereka untuk memulakan semula perniagaan dengan waktu henti (downtime) yang minima," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, menerusi program berkenaan, sekiranya pekerja pelanggan disahkan meninggal dunia akibat COVID-19, pelanggan boleh menuntut pembayaran sekaligus RM500 bagi setiap pekerja.
Jelasnya, jumlah pembayaran tuntutan bagi setiap pelanggan untuk kedua-dua perbelanjaan disenaraikan di atas dan kematian pekerja adalah pada nilai gabungan maksimum RM5,0001.
"Program Bantuan COVID-19 Perniagaan Zurich secara tidak langsung melengkapkan bantuan dan insentif nasional yang sedia ada untuk menyokong kesinambungan perniagaan," katanya.
Program Bantuan COVID-19 Perniagaan Zurich berkuat kuasa dengan segera sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga peruntukan dana RM2 juta dimanfaatkan sepenuhnya. -DagangNews.com