KUALA LUMPUR 3 Okt - CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' bagi saham syarikat pembinaan, EITA Resources Berhad dengan sasaran 92 sen berdasarkan kepada kekuatan aliran tunainya hasil daripada pelanggan berulang.
Firma itu berkata, kumpulan itu tidak memerlukan pelaburan modal yang banyak kerana perniagaan bergantung kepada tenaga kerja dan keupayaan kejuruteraannya.
Katanya, walaupun kumpulan itu dilihat masih baru dalam industri, mereka telah berjaya menembusi negara-negara Asia Tenggara yang lain dan juga rantau Asia Barat.
Selain pembinaan, kumpulan itu juga memiliki kepakaran dalam perniagaan kejuruteraan elektrik termasuk pembinaan pencawang elektrik.
"Dengan pemodenan pesat di Asia Tenggara, kami percaya adalah lebih mudah bagi kumpulan itu untuk meneroka pasaran rantau ini dan memberikan lebih persaingan.
"Pada pandangan kami, kumpulan ini bersesuaian untuk menjadi sasaran pengambilalihan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, dengan aktiviti pembinaan kembali rancak selain masalah penghantaraan semakin berkurangan, segmen pembuatan mereka dijangka kembali stabil menjelang FY9/23.
Firma itu juga percaya, antara punca saham kumpulan itu tidak diberi penilaian adil kerana kekurangan kehadiran institusi, dengan hanya 3% sahamnya dimiliki oleh institusi.
Katanya, pegangan institusi yang rendah mungkin disebabkan oleh kecairannya yang rendah.
"Bagaimanapun, saham kumpulan itu dilihat menarik untuk syarikat small-cap yang menawarkan perkembangan pendapatan yang stabil," katanya. - DagangNews.com