Bintai Kinden menetapkan semula jawatan Ku Chong Hong sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 18 Januari 2023 | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden menetapkan semula jawatan Ku Chong Hong sebagai pengarah urusan berkuat kuasa 18 Januari 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jan - Bintai Kinden Corporation Berhad, pakar perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrikal (M&E) menetapkan semula jawatan Ku Chong Hong sebagai Pengarah Urusan daripada Pengarah Eksekutif berkuat kuasa 18 Januari 2023.

 

Chong Hong diangkat ke Lembaga Pengarah Bintai Kinden selaku Pengarah Eksekutif pada 24 Februari 2022. 

 

Beliau sebelum itu menyertai Bintai Kinden sebagai Akauntan Kumpulan pada Jun 2019 dan kemudiannya ditetapkan semula jawatan sebagai Ketua Kewangan dan Akaun pada 17 September 2019 sebelum diangkat sebagai Ketua Pegawai Kewangan pada 12 Oktober 2020. 

 

Beliau yang juga ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Syarikat merupakan Pengarah Eksekutif Sarawak Consolidated Industries Berhad dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Malaysia Genomics Resource Berhad.

 

Chong Hong berterima kasih kepada Lembaga Pengarah penetapan semula jawatan itu dan beliau berazam untuk terus membantu mengembangkan kumpulan pada masa akan datang.

 

"Kumpulan ini akan terus memberi tumpuan kepada perniagaan teras dalam segmen kejuruteraan mekanikal dan elektrikal selain akan terus berusaha untuk mendapatkan lebih banyak peluang serta projek berulang di Malaysia yang akan menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpualan pada masa depan," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, pelantikan beliau mencerminkan perubahan kepada generasi muda yang menerajui operasi perniagaan. 

 

Beliau berkata, kumpulan itu mempunyai pasukan yang muda dan dinamik membolehkan syarikat menyesuaikan diri dengan trend dalam dunia korporat dan teknologi sambil mengeluarkan penyelesaian yang berada di luar kotak.

 

"Kami berkeyakinan bahawa dengan pengetahuan dan pengalaman industrinya, beliau dapat membimbing Bintai Kinden untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dan syarikat memanfaatkan kekuatannya sebagai pakar perkhidmatan kejuruteraan M&E untuk berkembang di Malaysia dan rantau ini," katanya. - DagangNews.com