CGS-CIMB jangka syarikat perladangan catat pendapatan lebih lemah pada 1QFY23 kesan harga minyak sawit mentah rendah | DagangNews Skip to main content

CGS-CIMB jangka syarikat perladangan catat pendapatan lebih lemah pada 1QFY23 kesan harga minyak sawit mentah rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Feb - CGS-CIMB Research menjangkakan pengusaha ladang kelapa sawit melaporkan pendapatan yang lebih lemah pada 1QFY23 disebabkan oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih rendah dan kos yang meningkat.

 

Firma itu berkata, purata harga MSM turun 2% dari bulan ke bulan dan 24% dari tahun ke tahun kepada RM3,910 bagi setiap tan pada 4QFY22, manakala kos pengeluaran meningkat disebabkan oleh gaji minimum yang lebih tinggi sejak 1 Mei 2022 dan kos baja yang lebih tinggi.

 

Firma itu menjangkakan harga MSM akan didagangkan dalam julat RM3,700-4,200 bagi setiap tan pada Februari 2023

 

Ia didorong pelbagai faktor termasuk keputusan Indonesia untuk menggantung beberapa permit eksport minyak sawit untuk mendapatkan bekalan domestik di tengah-tengah kenaikan harga minyak masak menjelang perayaan akan datang.

 

Katanya, Indonesia merancang untuk meningkatkan mandat biodieselnya kepada 35% pada Februari 2023, daripada 30% sebelumnya yang akan meningkatkan penggunaan minyak sawit di negara itu.

 

"Keputusan kerajaan Malaysia untuk melonggarkan syarat pengambilan pekerja asing pada 17 Januari 2023, yang akan mengurangkan isu kekurangan pekerja dan meningkatkan bekalan minyak sawit pada 2HFY23.

 

"Eksport minyak sawit berpotensi lebih tinggi dari Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) dan Eropah selepas Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (US CBP) membatalkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) terhadap Sime Darby Plantation pada 31 Januari 2023," katanya dalam satu nota kajian hari ini.

 

Firma itu juga, mengunjurkan stok minyak sawit meningkat 0.6% dari bulan ke bulan kepada 2.28 juta tan menjelang akhir Februari 2023 didorong pengeluaran dan import mengatasi eksport serta penggunaan tempatan.

 

Firma itu juga menjangkakan, pengeluaran minyak sawit pada penghujung Februari 2023 menyusut sebanyak 6% dari bulan ke bulan (didorong faktor bermusim) dan penyusutan eksport sebanyak 2% disebabkan paras bekalan yang tinggi di pasaran destinasi seperti India dan China.

 

"Eksport minyak sawit turun 23% dari bulan ke bulan dan 2% tahun ke tahun kepada 1.14 juta tan pada Januari 2023 berkemungkinan disebabkan oleh permintaan yang lebih lemah daripada pengguna utama seperti India dan China, disebabkan stok minyak sawit yang tinggi di negara masing-masing," katanya. - DagangNews.com