Comintel raih kontrak RM168 juta daripada Exsim Bukit Jalil City bagi pembangunan pangsapuri servis | DagangNews Skip to main content

Comintel raih kontrak RM168 juta daripada Exsim Bukit Jalil City bagi pembangunan pangsapuri servis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Comintel Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya Binastra Builders Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Exsim Bukit Jalil City Sdn. Bhd. bagi cadangan kerja-kerja pembangunan pangsapuri servis di Bukit Jalil bernilai RM168.3 juta.

 

Kontrak itu meliputi kerja-kerja cerucuk dan bangunan utama pembangunan satu blok pangsapuri servis 42 tingkat (508 unit) merangkumi Blok A yang memiliki 37 tingkat selain tiga unit kedai strata di aras satu tingkat bawah bangunan.

 

"Ia juga melibatkan pembangunan empat tingkat tempat letak kereta podium, tiga tempat tempat letak kereta bawah tanah selain kemudahan penduduk, satu unit pencawang elektrik dan satu rumah pengawal.

 

"Kontrak itu akan bermula pada 10 April 2023 dan akan siap dalam tempoh 33 bulan dari tarikh permulaan kerja," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kontrak itu dijangka memberi aliran tunai tambahan kepada kumpulan bagi tiga tahun kewangan.

 

Kontrak itu tidak akan memberi kesan ke atas modal saham terbitan syarikat tetapi dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih sesaham kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2024 hingga 2026. - DagangNews.com