Datasonic catat untung bersih RM53.7 juta bagi tempoh 9 bulan FY23 didorong peningkatan pembekalan kad pintar, passport | DagangNews Skip to main content

Datasonic catat untung bersih RM53.7 juta bagi tempoh 9 bulan FY23 didorong peningkatan pembekalan kad pintar, passport

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Feb - Datasonic Group Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM53.7 juta bagi tempoh sembilan bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) berbanding kerugian sebanyak RM3.1 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, mereka mencatatkan hasil sebanyak RM240 juta dalam tempoh itu berbanding RM82.1 juta bagi tempoh sama dalam tahun kewangan 2022.

 

"Sejumlah RM203.4 juta daripada hasil kumpulan adalah daripada pembekalan kad pintar, pasport dan personalisation services yang lebih tinggi daripada RM57.1 juta yang diperoleh dalam tempoh kewangan sebelumnya hasil daripada permintaan yang tinggi daripada pelanggan terhadap produk tersebut," katanya.

 

Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2022, kumpulan itu mencatatkan untung bersih berlipat kali ganda kepada RM16.7 juta berbanding RM1.5 juta bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu mencapai hasil sebanyak RM82.1 juta pada suku berkenaan yang lebih tinggi berbanding RM36 juta pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Sejumlah RM64 juta daripada hasil kumpulan pada suku ketiga diperoleh daripada pembekalan kad pintar, pasport dan perkhidmatan peribadi yang lebih tinggi daripada jumlah RM25.24 juta yang diperoleh pada suku yang sama tahun kewangan sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, perniagaan di seluruh dunia dijangka terus bergelut dengan pelbagai isu seperti tekanan inflasi, kenaikan kadar faedah, gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos input dan kekurangan tenaga kerja tetapi mereka akan terus memanfaatkan rekod cemerlang untuk mengatasinya.

 

"Permintaan untuk passport dilihat semakin kukuh sejak pembukaan semula sempadan antarabangsa.

 

"Permintaan itu dijangka kekal stabil pada suku akan datang dan kumpulan ini mengutamakan perkhidmatan penyampaian awam terbaik, pada masa sama pesanan untuk MyKad juga akan pulih seperti tahap sebelum COVID-19," katanya.


Kumpulan itu juga akan terus berusaha mempelbagaikan inisiatif baharunya termasuk bidang pendigitalan dan perkhidmatan sokongan pembayaran bagi mempelbagaikan aliran pendapatan mereka.

 

"Kumpulan ini juga mengharapkan prestasi kewangan yang lebih kukuh bagi FY23," katanya. - DagangNews.com