Belanjawan 2023 : Hutang negara akan cecah RM1.2 trilion tahun ini - PM Anwar | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023 : Hutang negara akan cecah RM1.2 trilion tahun ini - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Hutang negara dijangka mencecah RM1.2 trilion atau lebih 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2023.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini berkata, hutang dan liabiliti negara mencecah RM1.5 trilion atau 81% daripada KDNK.

 

Beliau berkata, bayaran khidmat hutang pada tahun ini juga mencecah RM46 bilion atau 16% daripada hasil iaitu melebihi had maksimum 15% yang diamalkan selama ini.

 

"Bayaran RM46 bilion itu hanya untuk kadar faedah atau bunga pinjaman dan bukannya hutang pokok. 

 

"Dewan ini harus diingatkan, 25 tahun kerajaan berbelanjawan defisit, hutang negara terus bertambah. 

 

"Kita pernah berhutang untuk membangun tanah FELDA; itu tidaklah digusarkan tetapi berhutang membiayai projek mega tanpa faedah mengundang persoalan apakah kita mengkhianati amanah sekiranya generasi anak muda dibebani dengan hutang," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kadar inflasi terus menekan disebabkan harga komoditi dunia yang masih tinggi dan gangguan rantaian bekalan makanan saat ini kesan daripada perang Rusia-Ukraine. 

 

Katanya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi dunia 2023 yang menyederhana pada 2.9% ketimbang 3.4% pada tahun lalu. Sektor perdagangan di peringkat dunia juga diunjur lembab pada kadar 2.4% berbanding 5.4% pada 2022.

 

"KDNK 2022 Malaysia mencatat pertumbuhan 8.7% disebabkan asas KDNK 2021 yang rendah susulan dampak hentakan wabak COVID-19. 

 

"Bagi memberi gambaran penuh prestasi ekonomi, ia perlu dilihat bersama dengan pertumbuhan sukuan yang mencatat penurunan iaitu suku pertama (3.8%) suku kedua (3.5%), suku ketiga (1.9%) dan suku keempat (-2.6%)," katanya. - DagangNews.com