Belanjawan 2023 : Kerajaan jangka kutipan hasil lebih rendah iaitu RM291.5 bilion pada 2023 | DagangNews Skip to main content

Belanjawan 2023 : Kerajaan jangka kutipan hasil lebih rendah iaitu RM291.5 bilion pada 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Feb - Kerajaan menjangkakan kutipan hasil lebih rendah iaitu RM291.5 bilion pada 2023 berbanding RM294.4 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bagaimanapun belum mengambil kira sumber hasil tambahan dan yakin akan meningkatkan hasil tahun ini ke paras yang lebih tinggi.

 

"Pentadbiran ini mengambil pendekatan dasar Belanjawan 2023 yang mengembang sebagai usaha mendukung pertumbuhan ekonomi supaya limpahannya dapat dinikmati semua rakyat," katanya pada sesi pembentangan Belanjawan 2023 di dewan Rakyat, hari ini.

 

Anwar berkata, analisis Bank Dunia dan Fitch menganggarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini diunjur pada kadar 4% selepas mengambil kira tinjauan ekonomi global yang mencabar.

 

Beliau berkata, kerajaan mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi sekitar 4.5% berdasarkan prospek ekonomi domestik yang semakin mengukuh selain mengambil kira ikhtiar untuk melaksanakan pembaharuan dan reformasi pentadbiran dan ia diyakini akan melepasi unjuran KDNK 4.5%.

 

"Tentunya ini didorong langkah tuntas Belanjawan 2023 yang akan memacu pertumbuhan lebih mampan selain keyakinan pelabur antarabangsa yang kembali merancakkan ekonomi negara," katanya.

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengurangkan defisit fiskal 2023 kepada 5% berbanding 5.6% pada 2022. 

 

Katanya, kerajaan bertekad untuk mencapai tahap defisit fiskal yang mampan dalam jangka masa sederhana dengan sasaran 3.2% kepada KDNK menjelang 2025 tertakluk pada pertumbuhan ekonomi yang terus kukuh.

 

"Bagi mengekang peningkatan hutang, pinjaman baharu mestilah lebih rendah dan sebaik-baiknya untuk membiayai pembangunan yang  membawa pulangan serta dampak langsung kepada rakyat. 

 

"Rang Undang-undang Tanggungjawab Fiskal akan dibentangkan ke Parlimen pada tahun ini. Ini untuk menjamin supaya kebijakan ekonomi itu lebih telus dan bertanggungjawab bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya ketelanjuran berterusan pada masa mendatang," katanya. - DagangNews.com