Leform terima subkontrak bernilai RM19.53 juta daripada IJM Construction | DagangNews Skip to main content

Leform terima subkontrak bernilai RM19.53 juta daripada IJM Construction

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Mac - Leform Berhad menerusi anak syarikatnya, LF Engineering Sdn Bhd menerima surat anugerah (LOA) bagi melaksanakan Perjanjian Subkontrak dengan nilai keseluruhan RM19.53 juta daripada IJM Construction Sdn. Bhd.

 

IJM merupakan kontraktor utama bagi pembinaan Seksyen 11 (Persimpangan Beruas ke Persimpangan Selatan Taiping) Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping - Banting).

 

Subkontrak berkenaan adalah untuk melaksanakan antara lain, pembekalan dan pemasangan pagar untuk projek yang dijangka siap pada 30 Ogos 2023.

 

Lebuh raya itu akan menjadi lebuh raya ketiga terpanjang di Semenanjung Malaysia, sepanjang 233 kilometer, selepas Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang 966 kilometer dan Lebuhraya Pantai Timur sepanjang 330 kilometer.

 

Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye berkata, pihaknya percaya anugerah itu menandakan keyakinan dan kepercayaan rakan niaga dalam pengurusan, sekali gus memberikan galakan besar untuk kumpulan itu mengukuhkan kedudukan.

 

Belia berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang keraguan terhadap pelan pengembangan mereka termasuk pembinaan kemudahan penyimpaan baharu bagi meningkatkan kawasan penyimpanan dan kecekapan operasi sambil membenarkan perkembangan kepelbagaian produk.

 

“Keupayaan kami untuk menampung jumlah pengeluaran yang lebih tinggi pastinya memberi petanda baik dengan latar belakang optimistik jangkaan penggunaan keluli yang meningkat didorong oleh pemulihan dalam industri pembuatan dan pembinaan. 

 

"Berdasarkan kepakaran teknikal kami dan rekod prestasi yang panjang dalam industri keluli, kami yakin kami berada pada kedudukan yang baik untuk pertumbuhan kami," katanya.

 

Subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil, pendapatan dan aset bersih Leform bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023. - DagangNews.com