MSHR gesa kerajaan pinda undang-undang sedia ada percepatkan kawal selia produk vape | DagangNews Skip to main content

MSHR gesa kerajaan pinda undang-undang sedia ada percepatkan kawal selia produk vape

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 April - Persatuan Pengurangan Kemudaratan Malaysia (MSHR) menggesa kerajaan meminda undang-undang sedia ada bagi memperkenalkan peraturan untuk produk vape.

 

Ini adalah seiring dengan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) mengecualikan nikotin daripada Akta Racun pada Jumaat lalu.

 

Perdana Menteri telah mengumumkan pembentangan rang undang-undang baharu kawal selia produk rokok dan vape akan dilakukan pada sesi akan datang, bagaimanapun, persatuan itu berkata undang-undang baharu itu berkemungkinan hanya akan siap pada suku keempat tahun ini.

 

Pengerusi MSHR dan doktor kesihatan awam, Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata proses itu terlalu lama justeru kerajaan harus meneliti undang-undang sedia ada yang boleh dipinda atau diperluaskan untuk memasukkan produk vape.

 

“Sebagai contoh, undang-undang semasa yang mengawal selia produk tembakau sudah pun ketat dan perlu dipinda untuk membolehkan produk vape dikawal segera memandangkan nikotin digunakan dalam produk vape juga berasal daripada tembakau,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah Sharifa, kawal selia produk vape adalah bagi memastikan perlindungan pengguna daripada bahan terlarang dan mengelakkan produk jatuh ke tangan kanak-kanak.

 

Pada masa yang sama, persatuan itu juga menggesa kerajaan membangunkan peraturan yang akan mengambil kira potensi pengurangan bahaya produk vape.

 

Pelbagai data bebas daripada penyelidikan tempatan dan antarabangsa, yang turut diakui oleh kerajaan United Kingdom dan New Zealand, kata beliau, menunjukkan bahawa vape telah terbukti kurang berbahaya berbanding merokok dan berkesan dalam membantu perokok berhenti merokok.

 

“Oleh itu, dalam membangunkan peraturan bagi produk vape, KKM perlu mempertimbangkan potensi pengurangan kemudaratan bagi produk vape supaya ia boleh digunakan sebagai alternatif kepada merokok, terutamanya dalam kalangan mereka yang tidak bertindak balas terhadap NRT (terapi gantian nikotin) tradisional,” tambahnya.

 

Sharifa juga mengesyorkan Malaysia mengambil pembelajaran dari negara maju lain yang mengawal ketat kualiti dan kandungan e-cecair seperti MHRA di UK (Agensi Pengawalseliaan Produk Perubatan dan Penjagaan Kesihatan) yang mengawal selia produk mengandungi nikotin dan e-cecair ke UK.

 

Bahagian penting adalah terdapat undang-undang menyatakan secara khusus sekatan produk tidak melebihi kekuatan nikotin tertentu, kuantiti maksimum e-cecair dalam produk, pembungkusan tahan kanak-kanak dan jelas diusik, mengharamkan bahan tertentu termasuk pewarna, kafein, diacetyl dan taurine serta keperluan pelabelan dan amaran pada semua produk vape.

 

"Semua ini perlu dimasukkan dalam mana-mana peraturan untuk mengawal selia produk vape bagi memastikan perokok mempunyai akses kepada produk yang selamat dan berkualiti sebagai cara berhenti merokok sepenuhnya," katanya. -DagangNews.com