KUALA LUMPUR 21 Nov - VS Industry Bhd diramal berada di landasan tepat untuk mencatatkan lonjakan pertumbuhan hasil pada tahun kewangan 2025 (FY25) disokong kepimpinannya dalam lencongan perdagangan dan perbincangan kontrak berterusan, kata UOB Kay Hian Research.
Perubahan strategik dalam hala tuju pelanggan utamanya juga membuka peluang baharu kepada kumpulan itu.
"Kami mendapati terdapat peralihan operasi yang telah memupuk tahap integrasi yang lebih tinggi dalam kalangan pengeluar kontrak utama.
"Transformasi ini telah membolehkan VS Industry meningkatkan daya tarikan dengan pelanggan, menawarkan fleksibiliti rantaian bekalan yang dipertingkatkan dan rangkaian produk yang lebih luas," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penelidikan tu berkata, dengan jejak geografi yang diperluaskan di seluruh rantau, kumpuan itu kini berada pada kedudukan strategik untuk menjual keupayaan baharunya ke dalam pelbagai pasaran, memacu pertumbuhan margin yang lebih kukuh dan meningkatkan kejayaannya dalam mendapatkan tender pekerjaan.
"Kemenangan baru-baru ini bagi dua barisan produk baharu adalah bukti yang jelas kepada kemajuan ini," katanya.
UOB Kay Hian Research berkata, kemenangan pesanan baharu itu diperoleh daripada pelanggan utamanya untuk pembuatan produk elektrik pengguna terpilih berdasarkan pemasangan binaan.
Ini dijangka membawa sumbangan hasil berulang sebanyak RM300 juta untuk FY25 dan RM1.2 bilion pada FY26.- DagangNews.com