KUALA LUMPUR 12 Okt - Nilai jualan perdagangan borong dan runcit pada Ogos 2022 melonjak sebanyak 33.7% kepada RM133.7 bilion menjadikannya satu rekod baharu.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pertumbuhan positif itu disumbangkan oleh semua subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM14.6 bilion atau 34.5% kepada RM57 bilion.
“Bagi tempoh sama, kenderaan bermotor meningkat RM10.8 bilion atau 185.3% kepada RM16.6 bilion yang disusuli oleh perdagangan borong yang melonjak RM8.3 bilion atau 16% kepada RM60.1 bilion.
“Dari segi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan meningkat sebanyak 2.6% disumbangkan subsektor kenderaan bermotor yang naik 17.8%,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagi prestasi merentasi subsektor itu, pertumbuhan subsektor runcit mencatat 34.5% pada Ogos 2022 yang disumbangkan oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat RM5.7 bilion atau 37.1% kepada RM21.1 bilion.
"Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatat pertumbuhan positif seperti jualan runcit di kedai pengkhususan pada RM3.7 bilion; jualan runcit bahan api kenderaan (RM1.8 bilion) dan jualan runcit barangan isi rumah (RM1.5 bilion).
"Subsektor kenderaan bermotor yang melonjak 185.3% disumbangkan oleh jualan kenderaan bermotor yang tumbuh 206.3% atau RM6.4 bilion kepada RM9.5 bilion.
“Ini diikuti oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal masing-masing sebanyak RM2.2 bilion, RM1.2 bilion dan RM1.0 bilion,” katanya.
Menurut Jabatan Perangkaan, peningkatan subsektor perdagangan borong sebanyak 16 peratus pada paras rekod RM60.1 bilion adalah terutamanya disebabkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong lain yang meningkat 16.8% atau RM3.4 bilion kepada RM23.6 bilion.
Antara kumpulan yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah jualan borong isi rumah (RM2.7 bilion), jualan borong makanan, minuman dan tembakau RM600 juta dan jualan borong jentera, peralatan dan bekalan (RM600 juta).
“Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit merekodkan 27.0% tahun ke tahun untuk mencapai 145.6 mata.
“Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan dalam kenderaan bermotor 169.6%, perdagangan runcit 30.1% dan perdagangan borong 7.4%.
“Selain itu, indeks volum pelarasan musim juga meningkat 3.1% bulan ke bulan pada Ogos 2022," katanya. - DagangNews.com