KUALA LUMPUR 13 Okt - Projek perumahan Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) and Lagenda Teluk Intan (LTI) di Perak terus mendapat permintaan yang stabil selepas Lagenda Properties Berhad mengambil langkah memadankan keupayaan pembayaran ansuran bulanan pelanggan terutamanya golongan B40.
AmInvestment Bank Research berkata, langkah itu terbukti berkesan dengan jualannya yang masih berdaya tahan walaupun dalam tempoh pandemik COVID-19.
Katanya, fasa pertama projek perumahan kebiasaannya membawa margin keuntungan yang lebih rendah.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan peningkatan beransur-ansur untuk margin keuntungan kasar (GPM) dalam jangka panjang.
"Ia dijangka dapat direalisasikan selepas lebih banyak rumah telah dilancarkan di perbandaran baharu dengan pelarasan harga yang lebih tinggi pada masa akan datang.
"Walaupun perumahan baharu mungkin berharga lebih tinggi namun permintaannya dijangka stabil berdasarkan kepada strategi harga yang kompetitif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Kumpulan itu menawarkan dua jenis hartanah termasuk rumah teres setingkat dan semi D dengan keluasan binaan yang sama manakala semi D hadir dengan kawasan tanah yang lebih luas.
Pembangunan besar-besaran hartanah dengan reka bentuk dan susun atur yang sama pada skala yang besar membolehkan kumpulan itu mengurangkan kos pembangunannya.
Perkara itu dijangka meyumbang melonjakkan pulangan ekuiti (ROE) kumpulan sebanyak 23%.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) tidak berubah RM1.82 sesaham. - DagangNews.com